Anda di sini

Semai sikap saling membantu

Advertisement
 Dr. Eravan menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada salah sebuah sekolah dan disaksikan oleh wakil Empire Project Datin Sabariah b. Tahir (dua, kiri) dan Kenneth Teng (kiri).
SUMBANGAN: Dr. Eravan menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada salah sebuah sekolah dan disaksikan oleh wakil Empire Project Datin Sabariah b. Tahir (dua, kiri) dan Kenneth Teng (kiri).

250 pelajar daripada 16 buah sekolah terima bantuan sempena program 'Back To School'

SIKAP prihatin dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira masa, tempat, agama, bangsa dan perbezaan ideologi perlu ditanam dalam diri setiap individu.

Wakil Kindness Malaysia Team Sabah Rozy Rozillah Awang Jaafar berkata, pihaknya dan Empire Project sentiasa mencari peluang dan ruang berkolaborasi dengan mana-mana organisasi, NGO dan individu dalam berjuang membantu orang lain dan menyebarkan kebaikan.  

"Aktiviti seperti ini perlu disemai bermula dari peringkat kanak-kanak,” katanya pada program ‘Back To School’ anjuran Kindness Malaysia Team Sabah dan Empire Project yang diadakan pada Jumaat di Dewan Sinar Mustika, Putatan.  

Seramai 250 orang pelajar daripada 16 buah sekolah seluruh Sabah menerima beg sekolah dan 300 keluarga menerima bantuan beras.  

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Dekan Kolej Teknikal Yayasan Sabah Dr. Eravan Seri, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknikal Yayasan Sabah.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu, Kota Marudu, SK Limau-Limauan, Kudat; SK Dualong, Kudat; SK Karakit, Banggi; SK Bongkol, Pitas; SK Salimpodon, Pitas; SK Marak Parak, Kota Marudu; SK Taritipan, Kota Marudu; SK Koromoko, Kota Marudu; SK Samparita, Kota Marudu; SK Ranau, Kota Marudu; SK Gana, Kota Marudu; SK Bunga Raya, Keningau; SK St. Francis Xavier, Keningau; SK Bonor, Keningau dan SK Pekan Lama, Kota Marudu.

"Pada hari ini, para pelajar menerima sumbangan tidak seberapa ini tetapi suatu hari nanti, kami berharap agar mereka turut akan membantu golongan yang kurang berkemampuan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat.  

"Empire Project juga berharap program hari ini merupakan 'starting point' untuk bekerjasama menjalankan misi kemanusiaan di Negeri Di Bawah Bayu ini," kata wakil Empire Project Ahmad Zaquan Rahmat.

Kindness Malaysia diasaskan pada 4 April 2012 bertujuan menyebarkan kebaikan tanpa mengira masa, tempat, agama, bangsa dan perbezaan ideologi.  

Kindness Malaysia mewujudkan cawangan di seluruh negeri di Malaysia termasuklah di Sabah. Kindness Malaysia Team Sabah pula mula bertapak di Sabah pada Jun 2016.

Setakat ini, Kindness Malaysia Team Sabah telah menjalankan sebanyak 27 program meliputi seluruh Negeri Sabah. Antaranya, program 'Back To School', 'Happy Goodies Bag' khas buat pesakit kanak-kanak, Sahur Amal, program BAGINDA, program Infaq Surau/Masjid dan lain-lain.

Manakala Empire Project diasaskan pada 4 Mac 2016. Pelbagai aktiviti kebajikan dijalankan di Kuala Lumpur bermula dengan aktiviti asas iaitu 'Street Feeding' atau memberi makan buat para gelandangan.

Empire Project menerokai dan menjadi perintis kepada beberapa aktiviti unik lain termasuklah Homeless ‘Selipar’ Project, Street Birthday Party, Empire ‘Sarong’ Project, Empire Food Bank, Project Pencil, Empire Backpack dan lain-lain.

Dalam majlis itu, Sinar Mustika dianugerahkan sebagai Ikon KINDNESS Kategori Organisasi atas sumbangan dan sokongan terhadap program-program anjuran Kindness Malaysia Team Sabah.

 Ahli Majlis Tertinggi Kindness Malaysia Team Sabah dan Empire Project bergambar kumpulan bersama Dr. Eravan.
ALBUM: Ahli Majlis Tertinggi Kindness Malaysia Team Sabah dan Empire Project bergambar kumpulan bersama Dr. Eravan.

 


 

Advertisement