Anda di sini

Pengebom nekad sasar masjid di Pakistan, 15 maut, 19 cedera

Advertisement
 Anggota tentera berkawal di luar masjid selepas letupan bom mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa                  di Quetta, barat daya Pakistan kelmarin. — Gambar AFP
BERJAGA-JAGA: Anggota tentera berkawal di luar masjid selepas letupan bom mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa di Quetta, barat daya Pakistan kelmarin. — Gambar AFP

QUETTA: Seorang pengebom nekad menyasarkan sebuah masjid di barat daya Pakistan semasa sembahyang petang kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan 19 lagi, kata pihak berkuasa.

Letupan berlaku di sebuah pekan satelit Quetta, bandar utama di wilayah itu. Serpihan bangunan dan kaca yang pecah berselerak di tempat kejadian.

Fida Mohammad, yang hadir untuk sembahyang petang, menyatakan kira-kira 60 orang telah hadir pada masa serangan ke atas masjid, yang terletak di sebuah kawasan yang mempunyai ramai penduduk.

Letupan memusnahkan penganut di barisan hadapan beberapa saat selepas sembahyang bermula, beliau memberitahu AFP.

“Ia adalah satu letupan yang sangat kuat, orang ramai telah menjerit-jerit dan berlari ke sana ke mari dan terdapat – ramai orang yang tercedera disebabkan oleh rempuhan,” kata Mohammad.

Mohammad Waseem, seorang doktor di hospital Sandeman di Quetta, mengesahkan bahawa 15 mangsa telah meninggal dunia.

Ketua polis wilayah Balochistan, Mohsin Hassan Butt, turut mengesahkan angka kematian, memberitahu AFP: “Seramai 19 masih menerima rawatan, keadaan tiga hingga empat orang adalah kritikal.”

Seorang pegawai polis adalah di antara yang terkorban, tambah beliau.

Menteri dalam negeri peringkat wilayah, Zia Ullah Langu, memberitahu wartawan bahawa siasatan oleh pegawai pemusnah bom menunjukkan bahawa seorang pengebom nekad telah melakukan serangan.

Seorang jurucakap bagi kerajaan wilayah, Liaqat Shahwani, mengesahkan seorang pengebom nekad telah dipersalahkan.

Militan Daesh (IS) me-ngaku bertanggungjawab ke atas serangan, menurut kumpulan perisikan SITE.

Seorang jurucakap tentera Pakistan menyatakan di Twitter bahawa anggota separa tentera telah sampai ke masjid dan menutup kawasan berkenaan.

“Satu operasi mencari bersama dengan pihak polis sedang dijalankan, mangsa yang tercedera telah dihantar ke hospital,” kata jurucakap itu, Asif Ghafoor.

Serangan berlaku dua hari selepas sebuah bom moto-sikal menyasarkan sebuah kenderaan separa tentera membunuh dua orang dan mencederakan 14 lain di sebuah pasar sibuk di Quetta.

Balochistan merupakan wilayah terbesar dan paling miskin, bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

Ia telah dibayangi keganasan sektarian dan serangan oleh pihak Islamis dan puak pemisah sering berlaku, malah ketika jumlah insiden ganas telah menurun dengan ketara di kawasan lain di Pakistan.

Para militan masih me-ngekalkan kemampuan untuk melakukan serangan, termasuk di pusat bandar utama dan sasaran yang dikawal dengan ketat, serta pihak penganalisis telah lama memberikan amaran bahawa Pakistan masih belum menangani  punca utama bagi fahaman ekstremisme.

Balochistan merupakan kunci kepada Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), sebahagian daripada  inisiatif ‘Belt and Road’ di Beijing.

CPEC cuba menghubungkan wilayah terpencil barat Xinjiang di China dengan pelabuhan Gwadar di Pakistan, memberikan akses ekonomi kedua terbesar di dunia ke lautan Arab. — AFP

Advertisement