Anda di sini

Penampilan istimewa Alan Walker di Borneo Music Festival Live 2020

Advertisement
 Saksikan persembahan istimewa Alan Walker di Kampung Budaya Sarawak pada 10 dan 11 April ini.
ISTIMEWA PADA APRIL INI: Saksikan persembahan istimewa Alan Walker di Kampung Budaya Sarawak pada 10 dan 11 April ini.

KUCHING: Borneo Music Festival Live 2020 bakal menggegarkan bumi kenyalang pada 10 dan 11 April ini di Kampung Budaya Sarawak dengan penampilan istimewa Alan Walker dari United Kingdom (UK) dan DJ Soda dari Korea Selatan.

Menurut kenyataan akhbarnya kelmarin, festival muzik yang diadakan secara ‘outdoor’ ini bakal menggabungkan artis dan pemuzik hebat dari pelbagai negara dan genre, sekali gus menjadikan acara ini cukup meriah dan penuh bertenaga.

Penggemar muzik pastinya tidak sabar juga menantikan penampilan khas DJ Alexis Grace (Malaysia), Nicole Chen (Singapura), DJ X Factor (Filipina), DJ Venom C dan Moski Love (Indonesia), LFDY (Live Fast Die Young) dari Taiwan, serta Alex X dari China.

Selain bakat kelahiran Malaysia seperti Rynn Lim, Thomas Jack dan Priscilla Abby serta pemuzik kebanggaan Sarawak; At Adau, Tuku Kamek, DJ Chaca Feroza, DJ Myvax dan DJ Ice-Cream bakal membuat kemunculan di festival itu nanti.

Alan Walker cukup popular dengan lagu ‘Faded’ akan mengadakan persembahan buat julung kalinya dengan penuh gaya di Sarawak.

Menerusi ‘Faded’, Alan Walker telah menerima anugerah berlian di Jerman. Selain itu, dia juga telah mendapat pengiktirafan multi-platinum dari 10 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan UK.

Sehingga kini lagu ‘Faded’ telah menerima 2.597 bilion tontonan di YouTube serta 37.8 juta langganan di platform berkenaan.

Selain itu, DJ Soda juga pernah mencetuskan fenomena menerusi muzik dance bertenaganya.

Penganjuran itu dibawakan khas oleh BME International dengan kerjasama Benta Mewah, Firmament Event Studio serta More Entertainment.

Pada masa yang sama Kampung Budaya yang mempunyai keluasan 17 ekar ini juga menghimpunkan banyak bazar menarik menjual pelbagai barangan seperti kraf tangan, baju, makanan istimewa dan lain-lain.

Tiket untuk Borneo Music Festival Live 2020 bakal dijual pada 14 Januari ini bermula 12 tengah hari menerusi airasiaredtix.com/tickets/BMFL2020. Festival ini hanya untuk mereka berumur 18 tahun ke atas sahaja.

Untuk maklumat lanjut berkenaan harga tiket sila layari @bmfl2020 di Facebook dan Instagram.

Advertisement