Anda di sini

Manfaatkan tanah NCR, jangan jual - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari ditemani (dari kanan) Abdullah, Jaul dan Len menyempurnakan simbolik pelancaran e-Lasis.
Abang Johari ditemani (dari kanan) Abdullah, Jaul dan Len menyempurnakan simbolik pelancaran e-Lasis.

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) disarankan memberi nasihat kepada pemilik tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang telah disukat untuk mengusahakan tanah mereka sekali gus dapat menambah nilai tanah tersebut. 

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, ia bagi menggelakkan tanah NCR yang telah disukat daripada terbiar dan dijual kepada orang lain. 

"Apa yang disebut saya ini, sebaik sahaja kamu (JTS) bertemu dengan penduduk luar bandar ketika melakukan kerja penyukatan tanah NCR, kamu cuba nasihat mereka untuk menambah nilai tanah mereka dengan mengusahakannya. 

"Jadi dalam kita bekerja, kita maklumkan kepada mereka, kalau ada tanah diusahakanlah kerana sekarang ini saya telah mengubah pendekatan pembangunan pertanian kita di Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis Makan malam penghargaan Projecting 2020 and Beyond with CM Jabatan Tanah dan Survei Sarawak 'Sarawakiana' di sini malam Sabtu. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata ekonomi pada masa ini berteraskan kepada ilmu pengetahuan termasuklah dalam ekonomi digital.

Namun, katanya, tanah masih kekal sebagai aset yang perlu diusahakan agar dapat memberi nilai tambah kepada tanah berkenaan. 

"Sebagai contoh, kita mahu mentransformasikan pertanian kita menggunakan teknologi terkini tetapi ini masih memerlukan tanah. 

"Apa yang berlaku, kita mahu menggalakkan ekonomi luar bandar dengan memanfaatkan teknologi ini untuk memberi tambah nilai kepada tanah mereka," tegasnya lagi. 

Pada majlis itu, Abang Johari turut melancarkan e-Lasis yang disediakan oleh JTS sebagai saluran tambahan untuk orang awam berinteraksi dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan. 

Pengarah JTS Abdullah Julaihi dalam ucapannya berkata, aplikasi itu bagi memperluaskan akses kepada Jabatan di luar ruang pejabat fizikal dan di luar waktu operasi normalnya. 

Jelasnya, bagi urusan tanah, e-Lasis adalah penyelesaian terbaik ke arah pengurusan tanah pintar.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Dr Zaidi Mahdi dan tetamu kehormat lain. 

  • oleh
  • Advertisement