Anda di sini

Manfaatkan kekuatan koperasi untuk ceburi perniagaan berimpak tinggi

Advertisement
 (dari dua kanan) Wan Hamid, Fattah dan Gan bersama-sama yang lain memotong kek sempena ulang tahun kelima KOPBARIS.
ULANG TAHUN KELIMA: (dari dua kanan) Wan Hamid, Fattah dan Gan bersama-sama yang lain memotong kek sempena ulang tahun kelima KOPBARIS.

SIBU: Gerakan koperasi di seluruh negara perlu merebut peluang dengan kekuatan koperasi yang ada untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Dato Abdul Fattah Abdullah berkata, negara mempunyai lebih 14,500 koperasi dengan ahli seramai lebih enam juta orang serta aset bernilai lebih RM150 bilion dan modal syer hampir RM20 bilion.

“Kita dapat lihat betapa kuat atau besar jumlah ahli koperasi di seluruh Malaysia. Kita patut guna kekuatan ini untuk menggalakkan koperasi menceburi perniagaan untuk menyumbang kepada negara dalam membangunkan ekonomi rakyat,” ujarnya.

Fattah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Hub Kesihatan Rejuvenate Wellness Koperasi Barisan Usahawan Berhad (KOPBARIS) di sebuah hotel di sini malam kelmarin. Hadir sama ialah Datuk Temenggong Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad, Pengerusi KOPBARIS Fabian Gan serta ahli-ahli koperasi yang lain.

Menurut Fattah, kerajaan menyasarkan perolehan (turnover) sebanyak RM60 bilion bagi koperasi di seluruh negara dalam masa lima tahun akan datang dan bagi mencapai sasaran itu, semua koperasi perlu mengambil bahagian dan menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi.

“Perniagaan koperasi kini bukan lagi mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan atau mengeluarkan kerepek. Kita kena pergi dalam industri yang besar seperti sektor kewangan, e-perdagangan dan sebagainya.

“Koperasi juga dicadang melihat sektor makanan dan bidang pertanian serta ternakan secara komersil. Di Sarawak masih banyak kawasan yang masih belum diterokai,” katanya sambil menambah negara mengimport bahan makanan bernilai lebih RM50 bilion setahun.

Di samping itu katanya, koperasi juga digalakkan terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan bagi mengurangkan penguasaan pihak tertentu dalam sektor tersebut.

“Kita lihat masalah yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini ialah masalah barang pengguna yang terlalu mahal. Ini berlaku kerana sektor pemborongan dan peruncitan dipengaruhi oleh karte-kartel yang ada.

“Dicadangakan pihak koperasi termasuk di Sarawak terlibat dalam bidang ini agar kita dapat mengurangkan kos kehidupan,” ujarnya sambil memberitahu ANGKASA telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan mengerakan koperasi supaya memainkan peranan terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan.

Menyentuh mengenai KOPBARIS yang ditubuhkan pada 2015, Fattah memuji koperasi tersebut sebagai sebuah koperasi yang aktif serta mempunyai keahlian dari pelbagai kaum, yang patut dicontohi oleh koperasi-koperasi lain.

Beliau juga menggalakkan KOPBARIS bekerjasama dengan koperasi-koperasi yang ada dalam Malaysia bagi memperluaskan aktiviti perniagaan terutama dalam bidang penjagaan kesihatan.

  • oleh
  • Advertisement