Anda di sini

Empat anjing penyelamat AirAsia dirai sempena sambutan Tahun Baharu Cina

Advertisement
 Kakitangan AirAsia Allstars  meraikan Rumah Terbuka DogQ pada 10 Januari.
KELUARGA BESAR AIRASIA: Kakitangan AirAsia Allstars meraikan Rumah Terbuka DogQ pada 10 Januari.
 Dua daripada  empat anjing penyelamat AirAsia turut menikmati keceriaan musim perayaan.
HAIWAN KESAYANGAN: Dua daripada empat anjing penyelamat AirAsia turut menikmati keceriaan musim perayaan.

KUCHING: Kakitangan AirAsia Allstars terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz termasuk  binatang seperti anjing.

AK, FD, QZ dan D7 merupakan empat anjing penyelamat yang diangkat oleh AirAsia pada awal 2017 dan sudah menjadi anggota keluarga yang disayangi semua kakitangan.

Sehubungan itu,  keempat-empat anjing itu  telah menerima layanan yang unik di mana syarikat penerbangan itu mengadakan   ‘lou sang’ sulung AirAsia yang khusus untuk haiwan  sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

Yee Sang istimewa  untuk haiwan itu mengandungi pelbagai hidangan seperti daging ayam,  bayam, lobak, strawberi, salami dan ‘kibble’ (biskut  anjing)

Hadir sama memeriahkan acara itu ialah Pengurusan Kanan AirAsia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riat Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail.

Riat berkata, pihaknya amat menyayangi empat anjing itu kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga AirAsia.

“Hari ini, jawatankuasa menganjurkan rumah terbuka  DogQ pertama dan menjemput semua angota Allstars untuk datang ke acara ini bagi mengenali anjing tersebut dengan lebih baik. Ini juga merupakan kempen kita dalam meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk kesejahteraan anjing,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Sementara itu, Benyamin Ismail menyifatkan acara itu adalah  sesuatu progam yang amat baik untuk Allstars dan  diharapkan lebih ramai lagi akan tampil ke hadapan untuk membantu menjadi sukarelawan dengan anjing seperti membawa haiwan itu berjalan-jalan dan membantu membersihkan  mereka.

“Bagaimanapun, ia bukan hanya untuk keseronokan  sahaja tetapi ‘lou sang’ adalah sebahagian  daripada aktiviti membabitkan kakitangan dalam AirAsia untuk merekrut lebih ramai sukarelawan dan mengumpul dana untuk menyelenggara DogQ,” ujar beliau.

Bagi salah seorang pengasas DogQ,  Vijaya Priya  Ananthan berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya mempunyai sukarelawan DogQ yang kuat yang akan berjalan dan memberi makan anjing setiap hari termasuk pada hujung minggu selain mengekalkan operasi DogQ.

“Malah, kita telah melihat Allstars menjadi lebih rapat melalui kerjasama  untuk menjaga keempat-empat anjing itu iaitu AK, FD, QZ dan D7,” ujarnya.

Manakala, seorang lagi pengasas DogQ, Renuka Kunathevan berkata, acara itu akan menjadi program tahunan kerana beliau percaya angota Allstars yang hadir acara itu akan meraikan perayaan itu bersama empat anjing terbabit.

“Dengan usaha ini, mereka akan lebih memahami anjing itu dan kita sangat gembira AK, FD, QZ dan D7 bekelakuan baik dan mengalu-alukan semua orang dengan mesra semasa rumah terbuka tersebut.

“Tambahan pula, kita telah merekrut 16 sukarelawan pada hari ini dan ini akan melengkapkan jadual kumpulan sukarelawan yang sedia ada  pada tahun 2020,” katanya.

AirAsia adalah sebuah organisasi yang menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian termasuk menyediakan  persekitaran kerja yang kondunsif untuk semua orang di seluruh lapisan masyarakat  termasuk pencinta haiwan dan haiwan kesayangan.