Anda di sini

Program Ulul Albab jadi pilihan Ibubapa dan pelajar

Advertisement
 Pelajar baharu tingkat satu bersama pihak pengurusan MRSM Semporna.
PELAJAR: Pelajar baharu tingkat satu bersama pihak pengurusan MRSM Semporna.

SEMPORNA : Program Ulul Albab terus menjadi pilihan utama di kalangan pelajar dan ibu bapa apabila kouta kemasukan ke  Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Semporna yang menawarkan program itu penuh sehinggakan ada permohonan yang terpaksa ditolak.

Pengetua MRSM Semporna, Zakpar Mahput berkata pelaksanaan Program Ulul Albab terus menjadi rebutan untuk pelajar melanjutkan pelajar ke peringkat menengah di negeri Sabah.

"Kita menerima laporan pendaftaran dan mendapati pelajar yang mendapat tawaran kemasukan datang dari pelusuk daerah di negeri ini serta tiada di antara mereka yang terlepas untuk membuat pendaftaran awal," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalan pengetua Syed Abdul Sabul Imam semasa hari pendaftaran dan minggu penyesuaian diri pelajar baharu MRSM Semporna, di sini baru-baru ini.  

Beliau berkata, Sistem Pendidikan Ulul Albab MRSM ialah suatu sistem yang ingin melahirkan teknokrat dan profesional sains huffaz yang berilmu, beriman, berakhlak mulia serta bertaqwa.

"Di samping itu, melahirkan pelajar yang mempunyai nilai teras Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah, Patriotik (SIKAP) serta inovatif yang dapat menguasai teknologi terkini dan pelbagai bahasa dunia," katanya.

Menurutnya, dengan kaedah dan modul yang diterapkan kepada para pelajar di sini, kita berkeyakinan MRSM Semporna dapat melahirkan manusia serta modal insan yang dapat membantu membangunkan negara.

"Saya yakin dengan penguasaan kepada kurikulum dan kokurikulum, dibantu dengan kelengkapan MRSM yang terbaik serta didikan daripada guru-guru yang komited. Hasrat dan konsep sistem pendidikan Ulul Albab ini pasti akan tercapai," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Program Ulul Albab pada dasarnya melaksanakan program yang merangkumi tiga komponen utama iaitu komponen Ensiklopedik, Quranik dan Ijtihadik.

"Komponen Ensiklopedik, pelajar akan belajar subjek biasa, sains tulen dan agama. Komponen Quranic pula mewajibkan pelajar menghafaz 30 juz al-Quran dan 41 buah hadis.

"Manakala komponen Ijtihadik pula mendedahkan pelajar kepada penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum, kemahiran insaniah dan sukan Sunnah seperti berenang, memanah dan menunggang kuda," katanya.

Jelasnya, walaupun MRSM Ulul Albab Semporna baru berusia setahun jagung tetapi kita telahpun berjaya melahirkan huffaz yang pertama.

"Lebih membanggakan lagi apabila huffaz yang pertama ini berjaya menamatkan hafazan al-Quran hanya dalam tempoh yang singkat kurang daripada dua tahun dan saya percaya pada tahun ini ramai lagi pelajar yang berjaya menamatkan hafazan mereka.

"Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh dan pendorong kepada pelajar baharu untuk terus berjaya dengan cemerlang sepanjang belajar dan menimba ilmu di maktab ini," katanya lagi.

Turut menjadi perhatian, pendaftaran tahun ini menempatkan pelajar kembar yang berjaya melepasi temuduga dan memasuki MRSM Semporna iaitu Muhd Fauzan Lakarani dan Muhd Fauzi Lakarani.

Bapanya, Lakarani Lamadiangi beryukur dan berterima kasih kepada pihak MRSM Semporna kerana memilih anaknya untuk melanjutkan pelajar dalam bidang ini.

"Saya tidak menyangka mereka dapat memasuki MRSM ini dan saya berharap dengan peluang yang diberikan anak-anak saya menjadi golongan profesional yang beriman serta mampu menghafaz al-Quran suatu hari nanti," katanya.

  • oleh
  • Advertisement