Anda di sini

Permainan Hujan: Kumpulan Puisi terbaharu Jasni Matlani

Advertisement
Penyair Jasni Matlani.
Penyair Jasni Matlani.

Walaupun industri penerbitan buku agak menurun di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun mutakhir, tetapi ini tidak mematahkan semangat golongan penulis di Sabah untuk terus menerbitkan buku.

Yang terbaharu, Datuk Jasni Matlani, Penerima Anugerah SEA Write Malaysia 2015, tidak ketinggalan menerbitkan buku kumpulan puisi beliau yang terbaharu berjudul "Permainan Hujan" terbitan Iris Publishing & Distributor (2019). Buku ini memuatkan 70 buah puisi beliau, yang sebahagian besar berbentuk naratif, seperti yang dilakukannya dalam buku kumpulan puisi "Dongeng Perkebunan" terbitan ITBM dan memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi kategori tahun penilaian 2015/2016 itu.

Buku kumpulan puisi "Permainan Hujan" ini adalah buku kumpulan puisi beliau yang ke lima selepas buku kumpulan puisi "Tergantung pada kata" (DBP:1996), "Kabus" (IPS:1998), "Skrip Aneh" (BAHASA:2012) dan "Dongeng Perkebunan" (ITBM:2015).

Walaupun beliau banyak menulis dan menerbitkan buku dalam genre cerpen, buku kajian dan esei kritikan dan juga novel. Tetapi beliau tetap tidak melupakan genre puisi, kerana penglibatan beliau dalam bidang penulisan pada awal tahun 1980-an dahulu bermula dalam bidang puisi.
 Puisi bagi beliau merupakan suara batin yang indah dan berakar daripada masalah peribadi yang rencam tetapi kemudian sama ada secara sedar àtau tidak, ia terhubung dengan pemikiran politik, sosio budaya, ekonomi, agama dan masyarakat, sama ada di peringkat domestik atau di peringkat global dan bersifat universal.

Puisi yang dimuatkan di dalam buku ini keseluruhannya merupakan puisi baharu yang dihasilkan penulis prolifik yang juga merupakan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah 2019 ini. Sebahagian besar karya puisi yang beliau muatkan di dalam buku ini belum pernah disiarkan dalam mana-mana media massa di negara ini.

Kebanyakan puisi yang termuat di dalam buku ini juga memaparkan kritikan halus penyair terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam masyarakat sama ada berkaitan politik, ekonomi, sosio budaya dan agama, seterusnya diungkapkan melalui bahasa yang indah, kaya dengan unsur metafora dan personifikasi yang mengesankan, malah turut menggunakan teknik naratif yang dikuasai dan dipeloporinya dengan baik di negeri ini. Bentuk penulisan ini kini semakin berkembang dan turut diaplikasikan oleh beberapa orang penyair lain bukan sahaja di Sabah, malah di Malaysia keseluruhannya.

Menurut Jasni, bentuk penulisan ini amat beliau senangi. Malah beliau sudah pun memperkenalkan genre ini ketika menghasilkan buku kumpulan puisi "Kabus", cuma malangnya buku kumpulan puisi berkenaan tidak tersebar luas. Hanya setelah buku kumpulan puisi beliau "Dongeng perkebunan" memenangi hadiah ketiga pertandingan menulus buku kumpulan puisi anjuran ITBM-PENA-BERITA HARIAN tahun 2015 dan buku itu pula memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi kategori buku puisi maka puisi bentuk naratif yang beliau perkenalkan itu semakin popular dan pada masa yang sama merekayasa teknik penulisan puisi enjambemen iaitu teknik penulisan puisi yang melanggar batas dalam baris dan secara sintaksis melompat atau bersambung di baris berikutnya itu.

 Kumpulan puisi Permainan Hujan.
TERBAHARU: Kumpulan puisi Permainan Hujan.

Jasni Matlani sebenarnya sudah mengabdikan diri dalam dunia penulisan puisi selama empat dekad. Jarak yang lama dan jauh di belakang itu menjadikan beliau seorang penyair dan penziarah seni yang matang, unik dan adakalanya sukar difahami sesetengah pihak, tetapi beliau sebenarnya menghadiahkan pesona yang luar biasa dalam dunia kepenyairan negara kita. Karyanya seperti yang termuat di dalam buku puisi "Permainan hujan" ini  memendam misteri kehidupan dan menuntut renungan yang dalam daripada khalayak.

Kita juga dapat melihat bagaimana beliau bercerita seolah-olah seperti seseorang yang sedang menyanyi dengan suara yang merdu dan bahasa yang indah, tetapi tidak ada sesiapa pun yang dapat meneka tangisannya yang tidak menghanyutkan itu.

Sesungguhnya puisi yang beliau hasilkan di dalam buku ini jika diteliti secara rinci, ternyata memperlihatkan bentuk dan gaya penulisan beliau yang unik. Sebahagian besarnya amat sangat singkat, tetapi menunjukkan betapa singkatnya kehidupan yang penuh pancaroba ini dalam dunia realiti. Puisi pendek yang beliau ungkapkan itu amat dominan sekali, malah ditulis dalam bait-bait yang penuh bara dan apabila angin bertiup ia akan menyala menjadi api yang ganas  dan melentok liuk dalam kelembutan lenggang lenggoknya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki buku kumpulan puisi terbaharu Jasni Matlani ini, boleh, menghubungi beliau di alamat email [email protected].

 

Advertisement