SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Cawangan Sibu merampas sejumlah rokok dan minuman keras seludup pelbagai jenama serta mercun tidak berkastam bernilai RM1.71 juta di Jalan Pan Borneo Stapang-Sibu pada Selasa.
Dalam serbuan pada jam 9.50 hingga 10.30 malam itu, Bahagian Penguatkuasaan Kastam di sini telah menahan dua buah lori secara berasingan dan merampas barang seludup dan tanpa cukai berkenaan dalam dua kes berasingan di lokasi tersebut.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media, hari ini mendedahkan lima individu turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
"Rampasan melibatkan dua buah lori kargo, yang menemui 1,486,360 batang rokok pelbagai jenama, 20,589.60 liter minuman keras dan 71.40kg pelbagai jenis mercun dengan anggaran nilai keseluruhan tangkapan ialah RM368,514.37 dan jumlah cukai sebanyak RM1,340,719.83," katanya.
Menurutnya lagi, operasi tersebut melibatkan tiga pasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sibu semasa melakukan satu sekatan jalan raya susulan maklumat risikan pegawai penguatkuasaan JKDM Sibu sebelum itu.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan telah berjaya menemui sejumlah rokok, minuman keras dan mercun pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus kastam yang disimpan di dalam ruang bahagian kargo kenderaan," jelasnya.
Katanya lagi, taktik penyeludupan dilakukan dengan membawa dan mengangkut minuman keras, rokok dan mercun dipercayai belum lulus kastam dengan menggunakan lori kargo yang turut membawa barang-barang keperluan harian untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (e) Akta Kastam 1967.