Anda di sini

Iran kata hormati kedaulatan Iraq selepas serangan peluru berpandu

Advertisement
 Orang ramai berhimpun di Times Square di New York, AS untuk membantah konflik ketenteraan dengan Iran ekoran pembunuhan Soleimani dalam serangan dron AS                   di Baghdad, Iraq baru-baru ini. — Gambar Spencer Platt/Getty Images/AFP
BANTAH PERANG: Orang ramai berhimpun di Times Square di New York, AS untuk membantah konflik ketenteraan dengan Iran ekoran pembunuhan Soleimani dalam serangan dron AS di Baghdad, Iraq baru-baru ini. — Gambar Spencer Platt/Getty Images/AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Iran kelmarin berkata ia menghormati inte-griti wilayah Iraq, selepas melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan Iraq yang menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS).

Serangan pada awal kelmarin mendorong Iraq me-nyatakan ia akan memanggil duta Iran.

Dalam sepucuk surat kepada Majlis Keselamatan PBB dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi, berkata negaranya menghormati sepenuhnya “kemerdekaan, kedaulatan, perpaduan dan integriti wilayah Republik Iraq.”

Tidak ada kematian atau kecederaan di kalangan anggota tentera AS atau Iraq dalam serangan terbabit.

“Operasi adalah tepat dan menyasarkan objektif tentera tanpa meninggalkan kebinasaan kolateral terhadap orang awam dan aset awam di kawasan tersebut,” kata diplomat itu dalam surat yang dikeluarkan oleh misi Iran.

Iran “menyatakan semula dedikasinya kepada pengekalan kedamaian dan keselamatan antarabangsa serta menegaskan bahawa ia tidak mahu keadaan bertambah buruk atau peperangan,” jelas beliau.

Kementerian luar negara di Iraq kelmarin berkata ia akan memanggil duta Iran kerana serangan peluru berpandu itu, yang tegasnya adalah satu pencabulan terhadap kedaulatan Iraq.

Iraq telah memanggil duta AS selepas serangan dron AS pada Jumaat lepas yang mengorbankan komander tertinggi tentera elit Iran, Qasem Soleimani, berhampiran lapangan terbang Baghdad. — AFP

Advertisement