Anda di sini

Gaji minimum baharu tingkatkan kuasa pembeli pengguna berpendapatan rendah - Chong

Chong ditemani (dari kanan) Andre, Stanley Colin dan Jeffery meninjau bahagian sayur segar yang dijual di Pasar Raya Everrise, CityOne.
Chong ditemani (dari kanan) Andre, Stanley Colin dan Jeffery meninjau bahagian sayur segar yang dijual di Pasar Raya Everrise, CityOne. - Gambar oleh Chimon Upon.

KUCHING: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,200 yang berkuatkuasa 1 Januari tahun ini akan meningkatkan kuasa membeli dalam kalangan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu turut akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan telah menguatkuasakan gaji minimum dari RM1,100 kepada RM1,200 pada tahun ini dan saya yakin ini akan meningkatkan pendapatan dalam kalangan pekerja sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana kuasa membeli pekerja dapat ditingkatkan.

"Dengan itu, ia akan memberi kesan berganda kepada ekonomi hasil daripada kuasa membeli yang meningkat ini," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan baharu Pasar Raya Everrise Ke-13 di Pusat Beli Belah CityOne di sini, hari ini.

Chong ditemani (dari kiri) Jeffery, Colin dan Andre meninjau Pasar Raya Everrise, CityOne.
Chong ditemani (dari kiri) Jeffery, Colin dan Andre meninjau Pasar Raya Everrise, CityOne. - Gambar oleh Chimon Upon.

Pada masa sama beliau memberitahu, kerajaan juga melaksanakan Program e-Tunai Rakyat 2020 yang mana mereka berusia 18 dan ke atas dengan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 yang dikreditkan dalam e-dompet mereka di bawah program tersebut.

Jelasnya, ia selari dengan transformasi digital pada masa kini yang menggalakkan rakyat membeli tanpa menggunakan tunai.

Dalam pada itu, Chong memuji usaha Everrise dalam mewujudkan peluang pekerjaan dengan membuka cawangan baharu di bandar raya ini.

Katanya, walaupun berdepan dengan trend baharu pengguna masa kini iaitu pembelian dalam talian, Everrise menyahut cabaran dengan mewujudkan cawangan baharu di sini.

"Trend pengguna telah berubah kepada pembelian dalam talian berikutan transformasi digital masa kini. 

"Namun, kita amat bangga dengan pihak Everrise kerana menyahut cabaran ini dengan membuka cawangan baharu yang bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi negara tetapi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," tambahnya.

Jelas beliau lagi, industri peruncitan antara penyumbang kepada ekonomi negara iaitu antara 15 hingga 20 peratus (Keluaran Dalam Negara Kasar) bagi sektor perkhidmatan.

Hadir sama Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Stanley Tan, Pengerusi Eksekutif Everrise Jeffery Sai, Pengarah Everrise Colin Sia, Ketua Pegawai Eksekutif Everrise Andre Cailleux dan tetamu kehormat lain.