Anda di sini

Curi RM500, seorang pengawal keselamatan didenda RM3,500

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang berjumlah RM500 milik sebuah kedai, di sini.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof juga mengarahkan agar Alexander Raj Ranjan, 34 untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mencuri wang tunai RM500 milik sebuah kedai di dalam pusat beli belah di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 3 Januari lalu. 

Kejadian jam 7 malam itu menyaksikan tertuduh mengambil wang tersebut di kaunter semasa menjalankan tugasnya sebagai pengawal keselamatan dan terus beredar dari kedai berkenaan. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan lelaki yang beralamat di Batu Kawa itu telah mengambil beg yang berisi wang.

Untuk itu, dia didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement