Anda di sini

19 lelaki didakwa sertai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’

Advertisement
 Seramai 19 orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’ tahun lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Seramai 19 orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’ tahun lepas. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Seramai 19 orang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’, tahun lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia 18 hingga 50 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sebatang lorong kecil, di tepi jalan besar Batu 12 ½, Jalan Rantau-Siliau dalam daerah Seremban, antara 1 Feb hingga 27 Nov, tahun lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini dan Mohd Izhanudin Alias.

Tertuduh R. Kamal Rajh, S. Ilangovan, L. Navinraj dan S. Sivabalan diwakili peguam V. Muniandy dan P. Rajsurian manakala S. Viven, TSG. Ravikumar, TSG. Kartik dan K. Sarugunan diwakili peguam Pathiban dan J. Dasene serta dua lagi tertuduh S. Prabu dan G. Kartik Rajah diwakili peguam Goh Chee Kian.

Baki sembilan lagi tertuduh, S. S Subramaniam, SRC. Prakash Rao, U. Kartik, B. Kalaiarasan, G. Yuganraj, K. Shahithar, G. Murali, G. Thanaselan dan M. Puspalingam, tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohd Izhanudin ketika ditemui pemberita kemudian memaklumkan bahawa mahkamah menolak permohonan jamin terhadap semua tertuduh atas alasan ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, petugas media dihalang masuk ke dalam mahkamah berikutan hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan masuk untuk mendengar prosiding itu yang berlangsung selama lebih dua jam bermula jam 10 pagi.

Selain itu, kawalan ketat juga dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan terhadap Kompleks Mahkamah Seremban sepanjang prosiding berlangsung.

Kenderaan membawa kesemua tertuduh dilihat meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada 12.30 tengah hari. — Bernama