Anda di sini

Polis Sarawak pertingkat usaha perangi jenayah

Advertisement
RAMLI DIN
RAMLI DIN

KUCHING: Polis Sarawak melakar banyak pencapaian dalam memerangi dan mencegah jenayah di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din berkata, untuk itu, pada tahun ini pihaknya akan menggunakan pendekatan siasatan yang lebih agresif dalam memerangi sebarang jenayah di negeri ini.

"Itulah pencapaian yang telah kita perolehi pada tahun lepas dan untuk tahun 2020 ini kita akan mempertingkatkan lagi usaha mencegah jenayah.

"Kita akan menggunakan pendekatan siasatan yang lebih agresif untuk melaksanakan siasatan kita, sebab kita percaya pencegahan jenayah yang paling baik adalah dengan menangkap penjenayah," katanya pada Sidang Media Sinopsis, Statistik Kejayaan dan Pencapaian PDRM Kontinjen Sarawak Bagi Tahun 2019 di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di sini hari ini.

Pada masa sama Ramli turut mengingatkan agar rakyat Sarawak lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan jenayah komersial.

Jelasnya, meskipun terdapat penurunan kes jenayah komersial bagi 2019 iaitu 25 peratus berbanding tahun 2018, namun jumlah kerugian dicatatkan adalah tinggi iaitu RM120 juta.

"Kita mohon supaya masyarakat lebih berhati-hati dengan panggilan telefon yang memancing untuk menipu mangsa mereka," tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak DSP Maria Rasid mendedahkan, sebanyak 1,340 kes jenayah komersial direkodkan di Sarawak sepanjang tahun lepas dengan kerugian sebanyak RM120 juta.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 437 kes atau 25 peratus berbanding  1,777 kes bagi tempoh yang sama tahun 2018, bagaimanapun jumlah kerugian meningkat RM42 juta atau 54 peratus berbanding RM78 juta dalam tahun 2018.

"Kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai ialah pecah amanah dengan 233 kes yang membawa kerugian sebanyak RM22 juta," katanya dalam sidang media itu yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.

Maria memberitahu, kes penipuan pinjaman wang tidak wujud pula melibatkan 210 kes dengan kerugian RM2 juta; Macau Scam (140 kes dengan kerugian RM13 juta), Love Scam (84 kes dengan kerugian RM4 juta) penipuan pembelian di internet (71 kes dengan kerugian RM1 juta) dan penipuan pelaburan (64 kes dengan kerugian RM7 juta.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, kadar jenayah indeks di Sarawak bagi 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus.

Jelasnya, pada 2019 jenayah indeks yang dicatatkan adalah sebanyak 6,692 kes berbanding 6,442 kes pada tahun sebelumnya.

Mengulas tentang pencapaian kadar pertubuhan pula, Denis berkata, peratusan pertuduhan kes masih di atas paras petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 35 peratus.

"Pencapaian kadar pertuduhan kes bagi kes bunuh adalah 66.6 peratus yang mana sebanyak 27 kes bunuh dicatatkan pada tahun lepas dan kita berjaya selesaikan tiga hingga empat kes manakala 18 kes sedang didakwa," jelasnya.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Datuk Khaw Kok Chin berkata, setakat 1 hingga 8 Januari tahun ini, PGA Sarawak berjaya membuat 50 tangkapan melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM6,133,410.

"Bagi kes tolak rasuah pula, kita berjaya membuat dua tangkapan dengan nilai sebanyak RM7,000 bagi tahun ini," ujarnya.

Manakala Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata, sepanjang tahun lepas telah berjaya membuat 833 kes tangkapan  berbanding 475 kes tahun sebelumnya.

"Hasil kejayaan, kita berjaya merampas sejumlah RM32, 666,278.08 berbanding RM19,972.08 bagi tempoh yang sama iaitu peningkatan hampir 64 peratus," jelasnya. 

  • oleh
  • Advertisement