Anda di sini

Anak Sarawak dipelawa mengisi kekosongan 5,513 jawatan dalam PDRM

Advertisement

KUCHING: Anak Sarawak dipelawa mengisi jawatan kosong ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini membuka permohonan bagi jawatan Inspektor, Konstabel Gred YA1 dan Konstabel (Sokongan) Gred YT1.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Norzanah Buang berkata, kekosongan jawatan dalam PDRM untuk tahun ini adalah sebanyak 5,513 jawatan.

"Untuk jawatan Inspektor (YA13) 159 kekosongan yang mana setakat ini kita telah menerima 16,094 permohonan," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di Batu Kawa di sini hari ini.

Manakala bagi jawatan Konstabel Gred YA1 pula, Norzanah berkata, sebanyak 4,636 kekosongan yang mana sebanyak 43,716 permohonan diterima bagi 2019 dan 2020.

"Bagi jawatan Konstabel Gred YT1(sokongan), sebanyak 718 kekosongan yang mana setakat ini kita telah menerima 4,784 permohonan," tambahnya.

Belia menjelaskan, permohonan hanya boleh dibuat melalui laman sesawang PDRM iaitu di https://epengambilanpdrm.rmp.gov.my/ .

Tegasnya, permohonan yang tidak melalui e-Pengambilan tidak akan diterima.

"Sebab itu kita risau mereka yang tinggal di daerah pedalaman yang tidak mempunyai akses internet tidak mendapat maklumat berkaitan kekosongan ini.

"Kita berharap pihak media dapat menyebar luas pengambilan ini," katanya.

Menurutnya, tarikh tutup permohonan bagi jawatan konstabel adalah pada 14 Januari 2020.

Kata beliau lagi, kesemua maklumat berkaitan pengambilan dan panggilan temu duga termasuk ujian berkaitan hanya dipaparkan di laman sesawang https://epengambilanpdrm.rmp.gov.my/ .
 
"Hanya mereka yang telah diterima dan dilantik sahaja akan dimaklumkan menerusi surat," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement