Anda di sini

Ribuan beri penghormatan terakhir kepada Soleimani

Advertisement
 Penduduk Iran berkumpul sekeliling kenderaan yang membawa keranda mengandungi jenazah          Soleimani dan yang lain semasa perarakan pengebumian selepas jenazah tersebut tiba di bandar timur laut Qom kelmarin selepas upacara di ibu negara Tehran, Iran. — Gambar Medhi Marizad/Fars News/AFP
PENGHORMATAN TERAKHIR: Penduduk Iran berkumpul sekeliling kenderaan yang membawa keranda mengandungi jenazah Soleimani dan yang lain semasa perarakan pengebumian selepas jenazah tersebut tiba di bandar timur laut Qom kelmarin selepas upacara di ibu negara Tehran, Iran. — Gambar Medhi Marizad/Fars News/AFP

KERMAN: Rakyat Iran berkumpul di Kerman semalam untuk memberi penghormatan terakhir kepada komander tertinggi Qasem Soleimani yang dalam peringkat akhir perarakan pengebumian selepas beliau terkorban dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Iraq.

Jumlah orang berkabung yang sangat ramai di kampung halaman komander unit bersenjata asing Pengawal Revolusi yang terkorban itu kelihatan menyamai kehadiran besar yang dilihat di bandar-bandar seperti Tehran, Qom, Mashhad dan Ahvaz.

Mereka bertumpu dari jauh di Dataran Azadi di mana dua keranda yang ditutupi bendera telah dipamerkan, de-ngan keranda kedua dilaporkan mengandungi jenazah pegawai paling rapat dengan Soleimani, Brigadier Jeneral Hossein Pourjafari.

“Kami hadir di sini pada hari ini untuk memberikan penghormatan kepada seorang komander yang hebat dalam pertahanan,” kata salah seorang orang berkabung yang datang dari bandar selatan Shiraz bagi menghadiri upacara pengebumian di Kerman.

“Haj Qasem bukan sahaja disegani di Kerman, atau Iran, namun juga seluruh dunia,” Hemmat Dehghan memberitahu AFP.

“Keselamatan seluruh du-nia, penduduk Islam, Syiah, Iraq, Syria, Afghanistan dan terutamanya Iran, semuanya adalah hasil daripada beliau,” kata veteran perang berusia  56 tahun itu.

Soleimani terkorban di luar lapangan terbang Baghdad pada Jumaat lepas dalam serangan dron yang di-arahkan oleh Presiden AS Donald Trump, menambahkan ketegangan dengan musuh ketat Iran yang telah menjanjikan “balas dendam teruk”.

Pembunuhan komander berusia 62 tahun itu menambahkan lagi kebimbangan antarabangsa mengenai satu perang baharu di Timur Tengah yang kaya dengan minyak dan menggoyahkan pasaran kewangan.

Parlimen Iraq telah me-nuntut kerajaan agar menghalau seramai 5,200 anggota tentera AS yang ditempatkan di negaranya sebagai respons kepada serangan dron yang turut membunuh pegawai kanan tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis.

Ketua NATO Jens Stoltenberg memberikan amaran kelmarin bahawa Iran harus mengelak “keganasan dan provokasi se-lanjutnya” selepas pihak pakatan mengadakan run-dingan mengejut mengenai krisis tersebut.

Kesatuan Eropah (EU), yang mana menteri luar negaranya akan mengadakan rundingan mengejut me-ngenai krisis pada Jumaat, menyatakan ia adalah bagi kepentingan kedua-dua pihak Iran dan Iraq untuk “mengambil jalan keseriusan dan bukannya jalan peningkatan”.

Arab Saudi, sekutu AS yang kaya dengan minyak yang dilihat sebagai terdedah kepada serangan balas Iran, turut merayu bagi keadaan tenang selepas satu peningkatan “sangat berbahaya”.

Soleimani  dijangka dikebumikan di tanah perkuburan pejuang syahid di antara jam 2 dan 4 petang waktu tempatan. — AFP

Advertisement