Anda di sini

Perodua lancar Bezza 2020, dijangka jual 4,000 unit sebulan

Advertisement
 
Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya hari ini.
Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya hari ini. - Gambar Bernama 

KUALA LUMPUR: Perodua melancarkan versi terkini Bezza 2020 hari ini, dan dari segi purata sebanyak 4,000 unit dijangka dijual dalam tempoh sebulan.

Pada akhir Januari, sebanyak 5,600 unit dijangka diserahkan kepada pembeli.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kumpulan kedua Bezza dilengkapi dengan pelbagai penambahbaikan berkaitan idea reka bentuk pintar, pemanduan pintar dan keselamatan pintar. 

“Kami yakin Perodua Bezza 2020 yang lebih berani dan lebih pintar itu akan terus mencatat prestasi yang baik,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran rasmi wajah baharu Bezza.

Bezza merupakan sedan pertama Perodua dan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama Malaysia apabila ia diperkenalkan pada 2016, katanya.

Setakat ini, sebanyak 184,000 unit telah dijual.

“Selepas kira-kira dua atau tiga tahun, kami berpendapat sudah tiba masanya untuk kami membuat penambahbaikan. Perkara utama yang kami lakukan ialah reka bentuk dan seperti yang kami katakan sebelum ini, untuk kelihatan lebih stabil, lebih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut.

Zainal berkata penghantaran pertama Perodua Bezza 2020 akan dibuat esok.

Secara keseluruhan, Perodua menerima sebanyak 10,000 tempahan, dengan 2,000 tempahan baharu diterima sejak 3 Jan, manakala 8,000 unit lagi (Bezza lama) yang ditempah pada tahun lepas, akan turut menerima Perodua Bezza 2020 berwajah baharu.

“Kepada pelanggan kami, kami akan cuba membuat penghantaran dalam tempoh sebulan atau lebih,” katanya.

Zainal berkata jualan Bezza dijangka meningkat selepas beberapa bulan pelancarannya.

Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam empat varian: 1.0 liter G manual (RM34,580), 1.0 liter G auto (RM36,580), 1.3 liter X auto (RM43,980) dan 1.3 liter AV auto (RM49,980) (harga di atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia). 

Perodua Bezza 2020 lebih berani daripada yang sebelumnya dengan lampu hadapan LED dan skirt sisi dwi-tona, kedua-duanya terdapat pada semua varian.

Dua warna luaran baharu Bezza -- Garnet Red (eksklusif kepada varian 1.3 liter) dan Granite Grey, menyertai empat warna yang sedia ada iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown. 

Perodua Bezza 2020 juga dilengkapi dengan jaminan lima tahun/150,000 km. 

Varian AV utama dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Selamat 2.0 (ASA 2.0) Perodua, menjadikannya sedan paling berpatutan di Malaysia dengan ciri-ciri sedemikian.

ASA 2.0 terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/h), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/h), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/h), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal, yang akan membantu mengurangkan risiko pelanggaran. - Bernama 

Advertisement