Anda di sini

Penjaja makanan bakal berhadapan hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah lepas dan bebas 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penjaja makanan yang terlepas hukuman gantung tahun lalu kini didakwa atas pertuduhan mengedar 403.00 gram dadah jenis Metamfetamina oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Penjaja makanan tersebut, Goh Sie Kiat bersama seorang rakannya, Peter Chan Chia Yin yang bekerja sendiri masing-masing didakwa mengedar dadah itu pada 24 Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah rumah di Jalan Selangan Batu pada jam 11 malam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki yang masing-masing berusia 28 dan 26 tahun itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar. 

Mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula kes, selain menunggu laporan kimia. 

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kini ditahan reman sementara menunggu tarikh tersebut.

Mereka didakwa oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nelson Ensit di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, pada 5 September tahun lalu, Sie Kiat dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada dua pertuduhan mengedar dua dadah berbeza berjumlah 866.33 gram.

Dia didakwa mengedar 371.23 gram Metamfetamina dan 495.10 gram dadah jenis Methylenedioxy Metamfetamina pada 21 Jun 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lee Heng Cheong kemudian membebaskan Sie Kiat berikutan tiada bukti kukuh dapat mengaitkannya dengan dadah tersebut.  
 

  • oleh
  • Advertisement