Anda di sini

Kisah kembara IPS ke negeri Laskar Pelangi

Advertisement
 Peserta Kembara Sastera IPS bergambar di hadapan SD Muhammadiyah.
TERUJA: Peserta Kembara Sastera IPS bergambar di hadapan SD Muhammadiyah.

SEMUA orang agak teruja pada pagi itu. Hari kedua di Belitung diisi dengan kunjungan ke replika SD Muhammadiyah Gantung, yang dijadikan set lokasi  untuk Laskar Pelangi.

Peserta Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) kebanyakannya pernah membaca Novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata atau sekurang-kurangnya pernah menonton filem Laskar Pelangi arahan Riri Riza.

Mereka masih menghafal nama  watak-watak dalam novel itu. Ikal, Mahar, Lintang yang pintar luar biasa, Harun yang datang paling terlambat tetapi jadi penyelamat hingga sekolah daif dan miskin itu dapat memulakan kelas kerana jumlah muridnya mencapai sepuluh orang.

 Rombongan Kembara Sastera IPS bergambar di luar SD Muhammadiyah Gantong.
KLASIK: Rombongan Kembara Sastera IPS bergambar di luar SD Muhammadiyah Gantong.

Mungkin di benak mereka masih membayangkan bagaimana seorang guru Ibu Muslimah Hafsari mengajar murid-muridnya. Ketika tiba di replika sekolah itu, mereka memasuki ruang kelas, lalu menyanyi lagu Laskar Pelangi.

Ketua Dua IPS Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin sempat merakamkan peristiwa itu dan kemudian mengunggahnya ke YouTube. Ternyata ramai yang menghafal dan tahu lirik lagu latar Laskar Pelangi itu.

 Rombongan penulis dari Sabah bergambar bersama buku Laskar Pelangi di Museum Kata.
DI MUSEUM KATA: Rombongan penulis dari Sabah bergambar bersama buku Laskar Pelangi di Museum Kata.

Aminah duduk di meja guru sambil melakonkan watak ibu Muslimah ketika memarahi muridnya, yang dilakonkan oleh Tawil, mungkin mengambil salah satu dari 10 watak dalam novel yang mendunia itu.

Sebenarnya SD Muhammaidayah itu hanyalah replika yang digunakan sebagai lokasi syuting yang melonjakkan nama Pulau Belitung sebagai destinasi pelancongan yang popular.

Sekolah yang sebenar sudah lama dirobohkan. Ketika pertama kali datang ke Belitung, pada tahun 2015, tidak ada bangunan lain di tempat itu kecuali replika sekolah. 

Apabila tempat itu semakin terkenal, kedai-kedai mula dibina ,juga warung tempat berniaga selain kemudahan-kemudahan asas yang lain. Kebanyakan pelancong yang datang ke Belitung, sering menjadikan kunjungan ke sekolah Laskar Pelangi itu sebagai salah satu tempat yang perlu dikunjungi.

 Rombongan mendengar kata-kata nasihat yang diberikan oleh Ibu Muslimah Hafsari.
KATA-KATA NASIHAT: Rombongan mendengar kata-kata nasihat yang diberikan oleh Ibu Muslimah Hafsari.

Inilah salah satu bukti bagaimana sastera dapat mengubah taraf hidup sesebuah masyarakat. Andrea Hirata melalui novelnya Laskar Pelangi yang diterjemahkan kepada berpuluh puluh bahasa di dunia berjaya menarik minat pembaca untuk berkunjung ke pulau yang satu ketika dulu kaya dengan lombong timah. 

Selepas novel itu diadaptasi ke filem, minat orang ramai untuk melawat ke pulau itu meningkat dengan drastik. Pelancong Eropah berpusu pusu datang ke Belitong, termasuk dari Belanda , yang khusus datang untuk melihat pulau itu sambil mengenang masa kecil atau  orang tua mereka yang pernah bekerja ke sana.

Pak Mawel, pemandu pelancong kami mengingatkan bahawa kami tidak boleh berada terlalu lama di sana kerana kami perlu melanjutkan kunjungan ke Museum Kata, milik Andrea Hirata, satu-satunya museum seumpama itu di Nusantara, atau mungkin bahkan di Asia, yang mempamerkan karya Andrea khususnya Laskar Pelangi.

 Salah satu tempat yang dijadikan lokasi pembelajaran anak-anak sekitar.
RUANG BELAJAR: Salah satu tempat yang dijadikan lokasi pembelajaran anak-anak sekitar.

Di sana, kita dapat melihat bagaimana watak-watak dalam novel itu terus dihidupkan dalam kepala pembacanya. Pelbagai gambar watak dalam novel itu dipamerkan, basikal tua yang sering digunakan Ibu Muslimah manakala di bahagian dapur, ada pelbagai kuih dijual untuk dinikmati bersama kopi belitung.

Tetapi yang lebih berharga dan bermakna ialah pertemuan dengan Ibu Muslimah Hafsari yang sebenar. Dalam filem, watak ibu Muslimah ini dilakonkan oleh Cut Mini.Beliau sanggup datang untuk menemui kami di Museum Kata dan sudi pula berkongsi pengalaman ketika mengajar di SD Muhammadiyah.

Beliau menceritakan bagaimana suasana ketika beliau mengajar di sekolah itu. Secara sukarela dan hampir tidak bergaji. Beliau pernah menerima anugerah kecemerlangan sebagai guru di peringkat nasional. Selain itu, beliau memberikan tip mengajar dan berkongsi kebimbangan  mengenai generasi muda yang terancam budaya hidupnya dalam era digital.

 Penulis Gabriel Kimjuan dari Perwila Labuan yang ikut serta dalam rombongan itu.
KAGUM: Penulis Gabriel Kimjuan dari Perwila Labuan yang ikut serta dalam rombongan itu.

Peluang bertemu ibu Muslimah itu jarang berlaku. Mujurlah, sahabat IPS di Belitong, Pak Agus Pahlevi bersusah payah megatur pertemuan itu meskipun ketika itu beliau berada di Bandung. Terima kasih kerana kesudian beliau sehingga program Kembara Sastera IPS dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Memberilah sebanyak-banyaknya dan bukan meminta sebanyak-banyaknya. Teringat kata Pak Harfan, kepala sekolah. Tetapi tidak ada yang dapat kami berikan melainkan ungkapan penghargaan dan terima kasih yang setulus-tulusnya kepada semua yang terlibat menjayakan program itu. Belitong memang pulau yang istimewa dan luar biasa.


 

Advertisement