Anda di sini

Imam didakwa tumbuk, cekik dan pijak isteri

 Muhammad Zaki (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka semalam atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara menumbuk muka, mencekik dan memijak badan mangsa pada Mei tahun lepas. — Gambar Bernama
TIDAK MENGAKU SALAH: Muhammad Zaki (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka semalam atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara menumbuk muka, mencekik dan memijak badan mangsa pada Mei tahun lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Seorang imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara menumbuk muka, mencekik dan memijak badan mangsa pada Mei tahun lepas.

Muhammad Zaki Kamal, 30, yang merupakan bapa kepada dua anak membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya yang berusia 29 tahun dan tidak bekerja itu, di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Taman Paya Dalam, pada jam 7.45 malam, 9 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan dia merupakan penjawat awam di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta perlu menanggung anak-anak yang masih kecil.

Majistret Mohamad Izwan membenarkan Muhammad Zaki diikat jamin RM1,500 dengan syarat tambahan, hanya isterinya dibenarkan menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes. — Bernama