Anda di sini

Dua penganggur didakwa cuba bunuh anggota polis

Advertisement
 Mohd Shamsul (tengah) dan Sarudin dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap seorang anggota polis bulan lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Mohd Shamsul (tengah) dan Sarudin dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap seorang anggota polis bulan lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap seorang anggota polis, bulan lepas.

Mohd Shamsul Abu Hassan, 46, dan Sarudin Rahman, 54, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan bunuh terhadap Lans Koperal Muhamed Hazwal Mohamed Zambri dengan melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis Proton Saga di persimpangan lampu isyarat Taman Rambai Utama di sini pada jam 6 petang, 24 Disember tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Majistret Mohamad Izwan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bersama syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement