Anda di sini

Alliance Islamic Bank lancar Program Halal in One

Advertisement
 (Dari kiri) Rizal IL-Ehzan, Dr Sirajuddin dan Khairul Shahril pada majlis pelancaran Program Halal in One di Putrajaya semalam.
DILANCAR: (Dari kiri) Rizal IL-Ehzan, Dr Sirajuddin dan Khairul Shahril pada majlis pelancaran Program Halal in One di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA: Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank), subsidiari Alliance Bank Malaysia Berhad, telah melancarkan Program Halal in One, sebuah ekosistem enterpris halal yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan peluang dalam segmen ini.

Program ini menawarkan para pemilik perniagaan yang menerokai industri halal dengan penyelesaian hujung ke hujung termasuk khidmat nasihat perniagaan, khidmat pemadanan perniagaan dan pembiayaan patuh syariah.

Sempena dengan pelancaran Program Halal in One, Alliance Islamic Bank telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan strategik, HQC Commerce Sdn Bhd. Acara menandatangani perjanjian telah disaksikan oleh Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM Satuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, Malaysia merupakan antara peneraju utama industri halal menerusi ekosistem ekonomi halal yang kukuh dengan tumpuan yang berterusan dalam membangunkan pembiayaan Islam global.

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) di Malaysia mempunyai kelebihan untuk menceburi segmen halal global yang dijangka berkembang kepada AS$3.0 trilion pada 2023. Namun sehingga 2018, 90 peratus daripada PKS Malaysia masih belum memiliki sijil halal.

“Program Halal in One menawarkan khidmat nasihat perniagaan oleh perunding halal bagi membantu PKS memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). PKS juga dapat menghadiri program latihan kesedaran halal yang disediakan secara percuma.

“Kami menyokong khidmat nasihat yang kami sediakan dengan penyelesaian perbankan halal termasuk pembiayaan khas, penyelesaian pembayaran gaji, dan Takaful enterpris serta peluang pemadanan perniagaan berasaskan halal,”katanya pada majlis pelancaran Program Halal in One di Putrajaya, semalam.

Menerusi Halal in One, bank merancang untuk membentuk sebuah ekosistem yang terdiri daripada rakan-rakan strategik yang memiliki pelbagai kepakaran berasaskan halal bagi membantu para pemilik perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor ini.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd Datuk Khairul Shahril Hamzah pula, permintaan global terhadap produk halal sedang meningkat dengan pesat.

“Oleh itu, Sijil Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM mendapat pengiktirafan dan dihormati di seluruh dunia. Faktor ini memberikan kelebihan kepada perniagaan di Malaysia. Menerusi perkongsian dengan Alliance Islamic Bank, kami berharap agar dapat berhubung dengan lebih ramai pemilik perniagaan dan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan pasaran halal.

“Program Halal in One kami merupakan sebuah ekosistem inklusif yang menggabungkan semua elemen yang diperlukan oleh perniagaan untuk berkembang dalam segmen halal, khidmat nasihat dan pemadanan perniagaan, persijilan halal dan pendanaan.

“Kami percaya bahawa usaha yang kami lakukan ini dapat membantu menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pembekal utama perkhidmatan sokongan halal serta menjadi pusat kecemerlangan dalam kewangan Islam,” jelas beliau.

  • oleh
  • Advertisement