Anda di sini

Alister, penghidap autistik berbakat besar

Advertisement
Alister menunjukkan salah satu daripada hasil seninya di Bazar Xmas, baru-baru ini.
BERBAKAT BESAR:Alister menunjukkan salah satu daripada hasil seninya di Bazar Xmas, baru-baru ini.
__alt__
__alt__
__alt__
__alt__

ALISTER Sim, penghidap autistik yang baru sahaja berumur 19 tahun mempunyai bakat luar biasa dalam bidang seni lukisan sekali gus membanggakan kedua-dua orang tuanya serta mahu menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak sepertinya di Kuching.

Beliau merupakan anak Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (SHEDA) cawangan Kuching Sim Kiang Chiok dan pasangannya, Diana Leong.

“Anak saya amat tertarik dengan mercu tanda dari serata dunia dan kami akan bertanyakan kepada dia tentang saiz kanvas yang diperlukannya selepas melayari video dalam talian.

“Walaupun kekadang hasil lukisannya itu mengambil masa untuk disiapkan antara beberapa hari atau minggu, tapi Alister jenis yang tekun dan menyiapkan kerjanya bersungguh-sungguh dan tidak pernah berputus asa.

“Sejak beliau masih kanak-kanak kira-kira enam tahun, saya telah memperkenalkannya dengan program komputer ‘Jumpstart’ kemudian ‘Jumpstart Preschool’ dan ‘JumpStart’ bergred sambil menjalani program biomedical,” kata Diana kepada Utusan Borneo, baru-baru ini.

Alister tidak pernah bercakap sehingga berumur 8 tahun menerusi program Jumpstart yang banyak membantu beliau dalam bacaan, kemahiran menaip, mata pelajaran Seni, Geografi, Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Muzik.

Banyak benda yang dilihatnya di televisyen, video dan gambar akan dilakarnya semula di Microsoft Paint seperti watak anime atau bangunan dan Alister juga suka bermain dengan perisian bersiri The Sims.

Alister yang pernah menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Laksamana Cheng Ho dan Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Demak Baru juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Geografi dan Sejarah.

Kata ibunya, Alister kini sedang sibuk menyiapkan beberapa bab buku nukilannya sendiri dan sudah memberitahu hasrat untuk menulis sebuah lagi buku selepas ini.

“Anak saya penghidap autistik dan mereka tidak seperti kanak-kanak biasa. Sudah tentu dia akan melakukan perkara biasa tetapi tidak sama seperti kanak-kanak normal.

“Tetapi kami telah mengajar Alister dengan sabar bagaimana untuk menjaga dirinya sendiri dan beliau sangat peramah apabila bertemu dengan orang ramai dan tidak membayangkan dia merupakan penghidap autistik,” katanya menambah.

Jelas terpancar di muka kedua-dua orang tuanya, bangga dengan kebolehan Alister yang juga berkebolehan membuat pengekodan komputer.

“Adik-beradik Alister juga menyokong bakatnya itu dan sering membantu, namun kadangkala beliau sendiri mampu menyediakan makanannya jika lapar,” kata ibunya.

Diana menasihati golongan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa seperti Alister agar banyak bersabar dalam mengajar anak mereka selain menyayangi sepenuh hati tanpa mengabaikan kesihatan diri sendiri.

Karya Alister baru-baru ini dipamerkan di Bazar Xmas sehingga 31 Disember 2019 dan diharapkan ia akan menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain agar menjaga anak istimewa mereka seperti anak yang normal.

  • oleh
  • Advertisement