Anda di sini

Warga emas dipenjara empat tahun cabul kanak-kanak 12 tahun

Advertisement
 

KUCHING: Kerana memeluk, mencium dan meraba dada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, seorang warga emas dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Koo Jun Hin, 63, mengaku bersalah sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca terhadapnya.

Selain penjara empat tahun, Hakim Jason Juga turut mengenakan satu sebatan terhadap tertuduh, selain memerintahkan tertuduh untuk menjalani kaunseling pemulihan semasa menjalani hukuman.

“Hukuman dijalankan bermula hari ini. Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani pengawasan polis mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak untuk tempoh satu tahun selesai hukuman,” ujar beliau semasa menjatuhkan hukum. 

Tertuduh merupakan seorang tukang cat yang diupah untuk mengecat pagar rumah mangsa.

Dia telah melakukan amang seksual terhadap mangsa tanpa melakukan hubungan seks dengan memeluk, mencium dan menyentuh dada mangsa menggunakan tangannya. 

Perbuatan itu dilakukannya semasa berada di rumah mangsa di Kenyalang Park pada 27 Disember tahun lalu, jam 2.30 petang. 

Mangsa kemudian memaklumkan ibunya mengenai perkara terbabit pada hari yang sama.

Tertuduh dalam rayuan pengurangan hukumannya menyatakan bahawa ini merupakan kesalahan pertamanya, selain perlu menjaga isterinya yang kini sedang berada di hospital kerana mengidap kanser. 

Namun, pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius dan melibatkan kanak-kanak. 

Menurutnya juga, kejadian itu akan memberikan kesan seumur hidup terhadap mangsa dari segi psikologi.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes di bawah Seksyen tersebut dan hukuman berat yang dijatuhkan akan memberikan pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam,” ujar beliau dalam prosiding mahkamah hari ini.

Beliau juga memohon agar tertuduh dihantar untuk menjalani kaunseling pemulihan selain menjalani pengawasan polis sehingga selesai hukuman.

“Ia bertujuan untuk memastikan tertuduh tidak mengulangi perbuatan terbabit,” ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement