Anda di sini

Pengawal keselamatan dipenjara setahun tujuh bulan, tendang kereta teman lelaki bekas isteri dan pukul

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dipenjara setahun tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini akibat melakukan khianat dengan menendang kereta milik teman lelaki bekas isterinya selain memukulnya pada 17 November tahun lalu. 

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menjatuhkan hukuman demikian terhadap Awang Rizuan Awang Terbize, 33, selepas dia mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan.

Pada jam 7.15 petang, 17 November lalu, tertuduh dan bekas isterinya sedang bertengkar mengenai nafkah anak mereka di rumah kediaman ibu bapa tertuduh di Kampung Semariang Batu. 

Semasa pertengkaran berlaku, tertuduh marah dan menendang kereta milik teman lelaki bekas isterinya yang berusia 26 tahun sehingga menyebabkan pintu hadapan sebelah kanan kereta tersebut sedikit kemek.

Tertuduh juga bertindak menumbuknya di bahagian lengan sehingga menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan seterusnya membawa kepada pergelutan antara mereka berdua. 

Berikutan kejadian tersebut, mangsa lebam di lengan sebelah kiri manakala pergelangan tangan sebelah kanannya mempunyai sedikit kesan calar. 

Tertuduh dalam hal ini telah melakukan khianat terhadap harta milik orang lain dan didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dia yang tidak diwakili peguam dipenjara setahun bagi kesalahan tersebut.

Kerana mendatangkan cedera terhadap bekas isterinya pula, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dipenjara tujuh bulan.

Mahkamah juga mengarahkan agar hukuman berjalan secara serentak mulai dari tarikh tangkap iaitu pada 30 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Advertisement