Anda di sini

Nikmati suasana hijau tanpa musim

Advertisement
 Buah pokok belian yang jarang ditemui di hutan biasa.
BUAH BELIAN: Buah pokok belian yang jarang ditemui di hutan biasa.

Imbak Canyon 'The Heart of Sabah' menawan hati pengunjung

PERJALANAN menggunakan pacuan empat roda sejauh kira-kira 300 km dengan masa hampir enam jam dari Kota Kinabalu menuju ke sebuah lembah sepanjang 25 km di tengah-tengah Sabah. 

Hutan Imbak Canyon ‘The Heart of Sabah’ adalah hutan dipterokarp terakhir di Sabah yang masih dara dengan keluasan 30,000 hektar. Ia disempadani oleh tiga tepian cenuram batu pasir mencecah ketinggian 3,700 kaki dari aras laut. 

Imbak Canyon diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2009. 

Kawasan ini  diuruskan oleh pihak Yayasan Sabah di bawah Undang-undang Hutan Simpan Imbak Canyon 2010. 

Imbak Canyon dibangunkan sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah pusat penyelidikan serta pelancongan domestik dan antarbangsa. 

 Aktiviti mengumpul spesimen semut.
SPESIMEN: Aktiviti mengumpul spesimen semut.

Pusat Penyelidikan Imbak Canyon siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal selaku Ketua Menteri Sabah yang baharu pada 26 Mac 2019. 

Baru-baru ini sekumpulan eksplorasi anak-anak tempatan dari Kota Belud berkunjung ke Pusat Penyelidikan Imbak Canyon demi melihat sendiri secara dekat panorama alam semulajadi yang masih terpelihara.

 Peserta ekspedisi (dari kanan) Ikhwan Aziq, Zakaria, Abdul Majit dan Ruslin.
PESERTA: Peserta ekspedisi (dari kanan) Ikhwan Aziq, Zakaria, Abdul Majit dan Ruslin.

Peserta eksplorasi Ruslin Alik seorang peniaga menzahirkan rasa sangat puas hati dengan fasiliti-fasiliti tersedia yang mesra pengunjung pelbagai kategori sama ada penyelidik ataupun pelancong biasa. 

Menurutnya, Imbak Canyon menyediakan pelbagai jenis penginapan mewah dan biasa di samping kemudahan lain seperti makmal, surau, dewan dan padang permainan untuk memenuhi keperluan semua pengunjung. 

 Kemudahan penginapan kelas biasa.
PENGINAPAN: Kemudahan penginapan kelas biasa.

Imbak Canyon semestinya dapat memberikan ketenangan fikiran serta memenuhi impian para pengembara dan pencinta alam semulajadi kerana panorama persekitarannya yang cantik dan segar. 

Bagi Abdul Majit Mudin seorang pegawai di Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kota Belud, kepelbagaian flora dan fauna serta kewujudan beberapa buah air terjun yang cantik menjadikan suasana amat romantis dapat memukau cinta alami para belia terhadap alam semulajadi. 

 Majid rasa puas dan segar selepas mandi air terjun.
SEGAR: Majid rasa puas dan segar selepas mandi air terjun.

Beliau juga menyarankan para belia supaya dapat membuat lawatan ke Imbak Canyon bagi menikmati suasana kehijauan tanpa musim. Mereka boleh merehatkan fikiran di samping berinspirasi tentang masa depan yang lebih cerah dan ceria. 

Tambahan pula, kini terdapat sebilangan anak-anak muda masih asing dengan suasana persekitaran hutan yang sebenar. 

Persekitaran yang sentiasa dilatari oleh nyanyian burung, tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dan desiran air terjun membuatkan seseorang lupa sejenak tentang kesibukan dan tekanan hidup di bandar. 

Menurut Zakaria Barabag seorang penyelidik tempatan, menjangkakan hutan Imbak Canyon antara salah satu hutan tua yang dihuni oleh diversiti semut yang tinggi. 

Kemungkinan besar wujud beberapa spesies baharu atau rekod baharu untuk semut Borneo. 

 Satu lagi koloni semut Dolichoduros cuspidatus.
SEMUT: Satu lagi koloni semut Dolichoduros cuspidatus.

Berdasarkan maklumat pihak renjer yang pernah ditugaskan membantu dalam hutan, mereka belum pernah membawa penyelidik semut di beberapa laluan utama dalam hutan. 

Antara kelainan hutan Imbak Canyon, pengunjung senang menjumpai pokok-pokok belian bersaiz besar yang jarang ditemui di tempat lain. 

 Pokok belian terbesar di Imbak Canyon.
TERBESAR: Pokok belian terbesar di Imbak Canyon.

Selain menjadi lubuk kepada khazanah alam yang amat tinggi nilainya, hutan Imbak Canyon turut mamainkan peranan mewujudkan keseimbangan ekosistem semulajadi di kawasan sekitar seperti menjadi sumber tadahan air hujan, agen pengitar gas karbon dioksida, mengekalkan rantai makanan dan sebagainya. - Artikel sumbangan Zakaria Barabag

Advertisement