Anda di sini

Keganasan jejas universiti berprestij India

Advertisement
 Anggota polis tiba di luar pekarangan Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi, kelmarin susulan pertelingkahan antara kumpulan mahasiswanya. — Gambar AFP
KEADAAN TERKAWAL: Anggota polis tiba di luar pekarangan Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi, kelmarin susulan pertelingkahan antara kumpulan mahasiswanya. — Gambar AFP

NEW DELHI: Puluhan tercedera di sebuah universiti berprestij di India kelmarin dalam apa yang dikatakan polis sebagai perbalahan di antara kumpulan pelajar bermusuhan namun seorang ahli politik pembangkang mempersalahkan persatuan pelajar yang ada kaitan dengan Perdana Menteri Narendra Modi.

Beberapa rakaman video yang tidak disahkan di dalam media sosial kelihatan menunjukkan sekumpulan penyerang bertopeng bersenjatakan belantan berkeliaran di kampus Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di New Delhi sambil para pelajar menjerit-jerit.

“Petang tadi, dua kumpulan bergaduh dan beberapa pelajar telah tercedera,’ seorang pegawai kanan polis Delhi memberitahu wartawan.

“Pihak pentadbiran universiti telah meminta pihak polis memasuki kampus,” kata pegawai itu, sambil menambah, “Keadaan berada di bawah kawalan sekarang.”

Sitaram Yechury, setiausaha agung Parti Komunis India, menyatakan serangan sebagai satu pakatan sulit di antara pentadbiran JNU dan ‘si bodoh’ dari kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi.

“Ia merupakan satu sera-ngan yang dirancangkan oleh mereka yang berkuasa, yang takut kepada tentangan yang dilakukan JNU,” kata Yechury.

BJP enggan mengulas mengenai insiden itu dan Akhil Bharatiya Vidhyarthi Parishad (ABVP), persatuan pelajar yang dipersalahkan bagi keganasan oleh pihak pembangkang, menyatakan bahawa 25 anggotanya telah tercedera semasa serangan di kampus tersebut.

“Ini adalah satu cubaan terdesak oleh pasukan anarki yang bersungguh-sungguh untuk menggunakan pelajar sebagai ‘bahan meriam’ untuk mencetuskan kekecohan bagi meneruskan jejak langkah politik mereka yang menurun.

“Universiti seharusnya merupakan tempat untuk pembelajaran dan pendidikan,” menurut BJP dalam Twitter.

Seorang pegawai di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS) di Delhi menyatakan bahawa        kebanyakan mangsa yang tercedera di hospital sedang menjalani rawatan kerana melecet, luka dan lebam.

“Serangan kejam  terhadap pelajar dan guru-guru JNU oleh penyangak bertopeng, yang telah menyebabkan ramai mengalami kecederaan serius, adalah mengejutkan,” menurut Rahul Gandhi, ahli politik terkenal dari parti pembangkang utama Kongres.

Insiden ini adalah yang terbaharu dalam siri perbalahan ganas yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang ketika bantahan mengenai undang-undang kerakyatan baharu yang kontroversi dikemukakan kerajaan Modi pada Disember.

Undang-undang itu membenarkan New Delhi untuk memberikan kerakyatan yang cepat kepada golongan minoriti dari tiga negara jiran Islam yang memasuki India sebelum atau pada 31 Disember 2014, tetapi pengkritik berkata ia meminggirkan Muslim di negara itu sebagai sebahagian daripada agenda nasionalis Hindu yang lebih besar oleh Modi.

Polis Dekhi kali terakhir bertelingkah di jalanan dengan para pelajar JNU pada November lalu selepas protes meletus berhubung kenaikan yuran di universiti terkemuka itu.

Organisasi pelajar JNU yang didominasi golongan haluan kiri sejak itu melancarkan demonstrasi untuk menuntut agar kenaikan yuran ditarik balik dan pada waktu yang sama berdepan tuduhan menghalang pegawai pentadbiran.

Ramai mengaitkan rusuhan pada Ahad dengan ketegangan yang meruap sejak kenaikan yuran, manakala pihak lain mengkritik polis dan pentadbiran universiti kerana gagal melindungi pelajar daripada penyerang bertopeng di kampus.

Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal menyeru kepada polis untuk segera menghentikan keganasan dan memulihkan keamanan.

“Bagaimanakah negara dapat maju jika pelajar kita tidak selamat di dalam kampus (universiti)?” beliau bertanya dalam Twitter.

Universiti berprestij itu pernah mengajar ahli-ahli politik terkemuka di India termasuk Menteri Luar Subrahmanyam Jaishankar, Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman dan pemenang hadiah ekonomi Nobel pada tahun ini Abhijit Banerjee.

Jaishankar menggunakan Twitter untuk mengecam keganasan itu dan berkata, “Ini sama sekali bertentangan dengan tradisi dan budaya universiti.”

Kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh kampus manakala menteri dalam negeri Amit Shah menyeru kepada polis Delhi untuk menyiasat.

Di bahagian lain di bandar raya itu, ketegangan merun-cing di luar Universiti Jamia Millia Islamia, di mana ratusan belia menunjuk perasaan sejak beberapa hari lalu untuk menentang undang-undang kewarganegaraan. — AFP

Advertisement