Anda di sini

Pemuda ugut bunuh adik dipenjara setahun

Advertisement
 

KUCHING: Tindakan mengugut bunuh adik sendiri membawa padah apabila seorang pemuda berusia 24 tahun dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengenakan hukuman tersebut terhadap Awang Syahmizam Awang Yusuf selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya. 

Mahkamah juga mengarahkan agar hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 21 November 2019. 

Pada 19 November tahun lalu jam 6.45 petang, tertuduh mengamuk dan bertindak membaling pinggan ke arah pintu rumah. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga mengugut bunuh adik lelakinya yang berusia 15 tahun. 

Kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Sepakat Jaya, Demak Laut itu menyaksikan tertuduh berang apabila kehendaknya meminta wang berjumlah RM20 tidak dituruti ibunya.

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita berusia 44 tahun dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri wang kakaknya berjumlah RM20. 

Tertuduh, Rokiah Fadil, melakukan perbuatan terbabit di rumah kakaknya di Jalan Semariang pada jam 9.30 pagi, 9 November tahun lalu. 

Dia kemudian didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement