Anda di sini

Jalinan Kasih Dangsanak Sabah - Brunei

Advertisement
 Lumin menyampaikan cenderamata kepada wakil YM Awang haji Mohd Jaafar berupa potret YM Awang Damit, generasi ketiga yang berhijrah ke Sabah.
CENDERAMATA: Lumin menyampaikan cenderamata kepada wakil YM Awang haji Mohd Jaafar berupa potret YM Awang Damit, generasi ketiga yang berhijrah ke Sabah.

 

 Mempertemukan 300 anggota keluarga Awang Laki


TANJUNG Aru yang sinonim dengan keindahan pantainya dan Tanjung Aru Plaza di Kota Kinabalu menyaksikan pertemuan buat julung kalinya lebih 300 orang anggota keluarga dari jurai keturunan Awang Laki dari negara Brunei Darussalam dan Malaysia khususnya di negeri Sabah dalam satu majlis yang dikenali sebagai 'Jalinan Kasih Dangsanak Sabah - Brunei Darussalam 2019' pada 28 Disember lalu.  

Untuk pertemuan pertama ini negeri Sabah dipilih sebagai tuan rumah seterusnya melakar sejarah keluarga ini.

Objektif utama penganjuran majlis ini ialah bagi menjejak dan mengetahui jurai keturunan keluarga Awang Laki yang berasal dari negara Brunei Darussalam.

Pengerusi Penganjur Lumin Hj. Ahmad Kemad dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, selain menjejaki ahli keluarga keturunan Awang Laki terutamanya di Sabah,  majlis ini juga bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim yang telah wujud sejak sekian lama.

“Ianya penting bagi mempastikan bukan sahaja bagi generasi semasa tetapi juga penting agar genarasi akan datang dapat mengetahui asal usul keturunan mereka. Tanpa penganjuran majlis sebegini, mungkin generasi akan datang akan menghadapi kesukaran untuk bersemuka lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini,” katanya.  

 Lumin Haji Ahmad bersama keluarga.
KELUARGA LUMIN: Lumin Haji Ahmad bersama keluarga.

Diakhir ucapannya beliau menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada semua ahli jawatankuasa dan anggota keluarga yang telah berusaha dengan begitu gigih sehingga majlis berkenaan berjaya diadakan. Juga kepada seluruh anggota keluarga yang berkesempatan untuk menghadiri majlis berkenaan.

Mengikut rekod terkini jurai keturunan ini telah mencapai ke generasi ketujuhdengan bilangan keluarga seramai hampir 500 orang .  

Dalam ucapan balasnya, Pengerusi selaku Ketua Rombongan dari negara Brunei Darussalam Yang Mulia Awang Haji Mohd Jaafar Abu Bakar melahirkan kegembiraannya di atas penganjuran majlis ini dan berharap penganjuran seumpamanya dapat diteruskan di masa-masa akan datang.  

Majlis seumpama ini menjadi medan untuk mempertemu dan mengerakkan hubungan silaturahim sesama anggota keluarga kedua wilayah.

Beliau juga menjelaskan bahawa satu-satunya generasi ketiga yang masih hidup dalam keturunan Awang Laki ini ialah Yang Mulia Awang Haji Abu Bakar Besar yang juga merupakan ayahanda beliau.

 Pengerusi Brunei memperkenalkan satu-satunya generasi ketiga yang masih ada.
GENERASI KETIGA: Pengerusi Brunei memperkenalkan satu-satunya generasi ketiga yang masih ada.

Yang Mulia Awang Haji Abu Bakar Besar yang turut hadir dalam majlis ini masih cergas walaupun kini kini telah mencapai usia melebihi 90 tahun.

Sementara itu rata-rata keluarga yang hadir ke majlis ini menyuarakan kepuasaan dan rasa gembira serta terharu mereka kerana akhirnya dapat bertemu dan bersua muka dengan ahli keluarga yang selama ini hanya diketahui dari ahli keluarga lain atau melalui media-media masa sahaja.

Sempena dengan majlis ini, pelbagai aktiviti kebajikan dan riadah telah diadakan samada sebelum, semasa dan selepas majlis. Antaranya penyerahan sumbangan surah Yaasin kepada beberapa buah masjid dan surau di sepanjang perjalanan rombongan dari negara Brunei ke Kota Kinabalu.

Turut menerima sumbangan surah Yaasin berkenaan ialah Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Jamek Kg. Likas dan Surau An-Nur Kg. Laut, Papar.  

 Keluarga dari Sabah bergambar dalam majlis itu.
DARI SABAH: Keluarga dari Sabah bergambar dalam majlis itu.

Perlawanan bolasepak futsal turut diadakan sehari sebelum majlis berlangsung.  
Sementara itu acara pertukaran hadiah, cabutan bertuah dan persembahan nyanyian telah diadakan semasa majlis jalinan kasih berlangsung.  

Kemuncak program ialah sumbangan wakaf tunai bagi membaiki dan menaiktaraf kemudahan Surau An-Nur Kg. Laut, Papar. (Artikel sumbangan Amidah Haji Ibrahim)

 Keluarga Besar Awang Laki dari Sabah dan Brunei.
BESAR: Keluarga Besar Awang Laki dari Sabah dan Brunei.
Advertisement