Anda di sini

Gaya hidup sedentari semakin menjadi trend di Malaysia 

Advertisement
Gambar hiasan

ADAKAH anda duduk berjam-jam sepanjang hari? Jika ya, anda sebenarnya berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Banyak kajian membuktikan bahawa gaya hidup sedentari dan kurang melakukan aktiviti fizikal berupaya meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit NCD seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.

Menurut aktivis global NCD Datuk Seri Jessy Lai, penyakit tidak berjangkit boleh menjadi beban terhadap sistem kesihatan di Malaysia kerana penyakit ini menyumbang kira-kira 73 peratus daripada jumlah kematian pesakit di hospital-hospital kerajaan.

"Amalan tidak aktif dan gaya hidup sedentari adalah antara faktor risiko utama seseorang akan menghidap penyakit tidak berjangkit," kata kepada Bernama.

Merujuk hasil kajian sebuah jurnal saintifik PLOS One yang diterbitkan di San Francisco, Amerika Syarikat pada 2016, Lai berkata obesiti dan kes penyakit tidak berjangkit yang berkaitan dengan ketidakaktifan fizikal meningkat secara mendadak di Malaysia dalam tempoh 20 tahun lalu.

"Kajian itu menyatakan Malaysia antara negara di dunia mempunyai rakyat yang kurang aktif secara fizikal, dengan lebih 60 peratus penduduk dewasanya mengamalkan gaya hidup sedentari.

"Penemuan ini membuktikan bahawa amalan gaya hidup sedentari semakin menjadi trend di Malaysia,” katanya.

GAYA HIDUP SEDENTARI

Lai, seorang usahawan dan mempunyai tujuh buah klinik senaman di seluruh negara, berkata hasil kajian Malaysian Journal of Public Health (MJPHM) yang diterbitkan pada 2016, melaporkan bahawa orang dewasa di Malaysia menghabiskan 41 peratus daripada masa mereka dalam sehari dengan duduk.

"Angka berkenaan membuktikan bahawa tingkah laku sedentari di Malaysia agak tinggi, oleh itu penting bagi seseorang individu berusaha untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif bagi mencegah risiko menghidap NCD," katanya.

MJPHM yang merupakan jurnal rasmi Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, menyatakan bahawa tingkah laku sedentari ialah suatu pergerakan minimum serta penggunaan tenaga yang amat kurang.

 Jurnal berkenaan turut menjelaskan bahawa tingkah laku sedentari berbeza dengan amalan tidak aktif. Sedentari bermaksud duduk atau baring dalam jangka masa yang lama, manakala tidak aktif bermaksud tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman yang mencukupi.

Lai semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Fighting Global NCDs pada Sidang Kemuncak Pemimpin 2019 yang dianjurkan Perhimpunan Perniagaan Eropah di Oxford Town Hall, United Kingdom pada 17 Disember lalu, mencadangkan agar pemaju di Malaysia mempertimbangkan untuk membina kemudahan klinik senaman dalam projek perumahan mereka.

Langkah berkenaan bertujuan mengubah gaya hidup masyarakat Malaysia dan demi mengurangkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit.

KEPENTINGAN BERSENAM

Sementara itu, pakar perubatan senaman Dr Lee Chee Pheng berkata tiada alasan rakyat tidak mengamalkan gaya hidup yang aktif kerana kini terdapat pelbagai aplikasi kesihatan di dalam telefon dan jam pintar yang boleh memantau aktiviti fizikal dan amalan gaya hidup mereka.

“Orang ramai harus menyedari bahawa senaman berpotensi sebagai alternatif perubatan konvensional untuk mencegah NCD. Senaman terbukti dapat membawa perubahan positif kepada tubuh badan manusia jika dilaksanakan dengan betul.

"Senaman merupakan pergerakan teratur yang dilakukan secara sukarela dalam masa yang ditetapkan mengikut kuantiti yang betul. Dalam konteks ini, setiap orang yang melakukan senaman akan memperoleh hasilnya," katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Perubatan Senaman Sedunia di Kuala Lumpur mulai 19 hingga 21 Jun depan.

Kira-kira 800 perwakilan dari 23 negara dijangka menyertai persidangan itu yang turut dianjurkan oleh MS New Symphony Exercise Clinic, Asia College of Exercise and Sports Medicine dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, katanya.

MASALAH OBESITI

Sementara itu, perunding obstetrik, pakar ginekologi dan kesuburan Pusat Perubatan Sunway Dr Kannappan Palaniappan berkata amalan sedentari boleh menyebabkan masalah obesiti dan lebihan berat badan.

"Sikap begini akan meningkatkan risiko diabetes dan kolesterol tinggi yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Pesakit yang tidak aktif juga mempunyai kadar tekanan darah yang tinggi," katanya.

Dr. Kannappan berkata sakit lain yang berpunca akibat amalan gaya hidup sedentari termasuk pembentukan darah beku di kaki dikenali sebagai trombosis vena dalam, serta penyakit hati berlemak dan gangguan mental.

"Gaya hidup sedentari sama ada bagi lelaki atau wanita juga boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan. Wanita akan mendapati diri mereka mengalami kitaran haid yang tidak teratur akibat masalah dalam proses ovulasi dan berat badan berlebihan," katanya.

Wanita yang mengamalkan gaya hidup tidak aktif ketika hamil juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kata Dr. Kannappan. - Bernama 

Advertisement