Anda di sini

Enam polis Sepanyol tinggalkan Bolivia berikutan perbalahan diplomatik

Advertisement
 Gambar fail 30 Disember 2019 menunjukkan anggota polis berkawal di luar kawasan komuniti mewah La Rinconada, di mana terletaknya kedutaan Mexico, di La Paz, Bolivia. — Gambar Jorge Bernal/AFP
BERKAWAL: Gambar fail 30 Disember 2019 menunjukkan anggota polis berkawal di luar kawasan komuniti mewah La Rinconada, di mana terletaknya kedutaan Mexico, di La Paz, Bolivia. — Gambar Jorge Bernal/AFP

LA PAZ: Enam anggota polis Sepanyol meninggalkan Bolivia selepas dituduh cuba menyeludup keluar seorang lelaki yang dikehendaki dari kediaman duta Mexico di La Paz, kata kerajaan.

Pengarah Migrasi Negara, Marcel Rivas, menyatakan enam lelaki itu adalah anggota “sebuah kumpulan khas untuk Pengawal Awam Sepanyol”.

Mereka dituduh cuba memasuki kediaman duta Mexico untuk membawa keluar bekas menteri dalam negeri yang dikehendaki, Juan Ramon Quintana.

Quintana, bersama dengan sembilan pegawai lain yang berkhidmat di bawah Evo Morales, telah berlindung di dalam kedutaan selepas Morales meletakkan jawatan sebagai presiden dan melarikan diri ke Mexico pada 10 November.

Quintana dan bekas pegawai lain telah didakwa atas kesalahan keganasan dan hasutan dikaitkan dengan beberapa insiden keganasan pasca pilihan raya di Bolivia.

Insiden di kediaman duta mencetuskan perbalahan diplomatik antara Bolivia dan kedua-dua negara Mexico serta Sepanyol.

Bolivia telah mengusir duta Mexico, Maria Teresa Mercado, dan dua diplomat Sepanyol, sementara Mad-rid bertindak balas dengan menghalau tiga diplomat Bolivia.

Media Bolivia berkata polis Sepanyol tersebut telah memasuki negara itu dengan identiti palsu.

Mereka dirakamkan kelmarin dengan muka mereka ditutupi berhampiran kediaman duta Mexico ketika diplomat Sepanyol Cristina Borreguero dan Alvaro Fernandez sedang melawat.

Sepanyol menafikan cuba membantu Quintana me-larikan diri.

Morales, yang turut dituduh bagi keganasan dan hasutan oleh kerajaan sementara, melarikan diri ke Mexico dan kemudian menerima perlindungan di Argentina.

Kerajaan sayap kiri di Mexico bersekutu rapat dengan kerajaan Morales, namun hubungan dengan presiden sementara sayap kanan Bolivia, Jeanine Anez, telah memburuk.

Bolivia menuntut Mexico menyerahkan bekas pegawai yang dikehendaki dan sebelum ini menuduhnya gagal menghalang Morales campur tangan dalam politik di Bolivia ketika  beliau berlindung di sana. — AFP

Advertisement