Anda di sini

Rompak berkumpulan, kes dua sahabat disebut lanjut 13 Januari

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 13 Januari ini untuk sebutan lanjut kes dua sahabat yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang remaja lelaki.

Majistret Md Syafique Md Hilmie memerintahkan agar kes itu disebut lanjut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM5,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Slyvester William Olivia, 22, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya dan Mohamad Zulkefli Mahari, 25, dari Kampung Peliau Bungai, Sibuti telah didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan merampas sebuah telefon bimbit milik Steve Along Irine, 20.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah hari, 13 Disember lalu di Lorong 12 Pusat Internet Quadruplex Bandar Baru Permyjaya.

Tiada pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement