Anda di sini

Lempar mercun di premis perniagaan, lelaki didenda RM3,000

Advertisement

MIRI: Seorang bapa didenda RM3,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan melemparkan mercun di hadapan sebuah kedai mainan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Md Syafique Md Hilmie setelah Mohd Faizal Yassin, 36, dari Kampung Lereng Bukit di sini, mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan khianat dengan sengaja melemparkan mercun di hadapan sebuah kedai mainan milik Joseph Chai Cheong Kui, 57.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.15 petang, 22 Disember lalu di sebuah premis di Pusat Komersil Pelita di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Tambahan dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement