Anda di sini

Kanak-kanak antara 18 korban nahas pesawat tentera Sudan

Advertisement

KHARTOUM: Empat kanak-kanak adalah antara 18 orang yang terkorban kelmarin apabila sebuah pesawat pengangkut tentera Sudan terhempas selepas berlepas dari wilayah Darfur Barat, ekoran ketegangan baru-baru ini di sana, kata seorang jurucakap tentera.

Pesawat itu terhempas lima minit selepas berlepas dari sebuah lapangan terbang di bandar utama negeri El Geneina, selepas menghantar bantuan ke kawasan ber-kenaan, yang dilanda oleh pertempuran puak baru-baru ini.

“Sebuah pesawat tentera Antonov 12  terhempas pada malam kelmarin selepas berlepas dari El Geneina mengorbankan semua tujuh anak kapal, tiga hakim dan lapan warga awam, termasuk empat kanak-kanak, yang berada di dalamnya,” kata jurucakap Amer Mohammed Al-Hassan.

Beliau menyatakan siasatan sedang dilakukan bagi menentukan punca nahas tersebut.

Kebanyakan armada pasukan tentera dan awam di Sudan meliputi pesawat lama buatan Soviet, dan negara telah mengalami satu siri nahas sejak beberapa tahun ini, dengan pihak tentera kerap mempersalahkan masalah teknikal dan cuaca buruk.

Sebelum itu seorang sumber tentera memberitahu AFP bahawa pesawat tersebut telah menghantar bantuan ke Darfur Barat yang digegarkan pada awal minggu ini oleh perbalahan puak yang berdarah.

Sekurang-kurangnya 48 orang terkorban dan 241 lagi tercedera dalam keganasan itu, menurut Bulan Sabit Merah di Sudan.

Ia menyatakan pertempuran bersenjata meletus pada malam Ahad di El Geneina, dan berterusan sehingga Isnin antara kumpulan Arab dan Afrika, de-ngan beberapa rumah telah dibakar.

“Pagi ini situasi adalah tenang,” kata Bulan Sabit Merah kelmarin.

Ia menyatakan mayat 48 orang yang terkorban telah dipindahkan ke sebuah rumah mayat di El Geneina dan 19 daripada mereka yang tercedera berada dalam keadaan kritikal dan diterbangkan ke Khartoum untuk rawatan.

Menurut media Sudan, pertempuran meletus selepas satu perbalahan antara  dua orang, namun ia masih belum jelas lagi apa yang mencetus-kannya.

Seorang wanita yang dihubungi melalui telefon pada Selasa lepas menyatakan dia telah melarikan diri dari kem Krinding bagi penduduk Masalit yang tiada tempat tinggal, sebuah kumpulan etnik bukan Arab, berhampiran El Geneina selepas penyerang membakar khemah-khemah di sana.

Pihak kerajaan turut me-ngerahkan pasukan tentera ke El Geneina bagi mengawal keadaan. — AFP

Advertisement