Anda di sini

SEAS hadiahkan pengalaman berharga untuk anak Membakut

Advertisement
 Sharatun merakamkan gambar kenangan sebelum berangkat ke London.
ALBUM: Sharatun merakamkan gambar kenangan sebelum berangkat ke London.

BAGI gadis kecil dari Membakut, pengalaman berada di London selama tiga minggu seolah-olah bagaikan cerita dongeng menjadi nyata.

Dayangku Sharatun Najihah Othman, 12, anak kelahiran Kampung Pimping, Membakut, akhirnya berangkat pulang menuju kampung halamannya setelah mendapat pengalaman baharu yang tidak pernah diduga. 

Pada malam terakhir sebelum berangkat pulang ke tanah air, Sharatun diraikan oleh Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar, serta isterinya di Malaysia Hall di Bayswater, London.

Pertemuan Sharatun dengan Jamawi membawa erti yang sangat besar untuknya sekaligus menjadi inspirasi kepada Sharatun untuk terus berusaha mencapai kejayaan di masa hadapan.

 Sharatun merakamkan gambar kenangan di hadapan British Museum ketika berada di London.
MERAKAM GAMBAR: Sharatun merakamkan gambar kenangan di hadapan British Museum ketika berada di London.

Kisah kembara Sharatun bermula pada tahun 2018 semasa program English Camp anjuran Sabah English Aspiration Society (SEAS).

Menurut Gilinah Gitom, guru kelas yang membimbing Sharatun selama enam tahun, gadis kecil itu menunjukkan perubahan yang positif dan mulai menunjukkan kesungguhan yang membanggakan.

Akhirnya, apabila keputusan UPSR diumumkan pada bulan November 2019, Sharatun berjaya memperolehi keputusan A dalam kedua-dua kertas Bahasa Inggeris dan tiga matapelajaran lain.

 Sharatun bergambar bersama doktor-doktor dari dari Kings College Hospital dalam satu majlis jamuan Krismas.
JAMUAN: Sharatun bergambar bersama doktor-doktor dari dari Kings College Hospital dalam satu majlis jamuan Krismas.

Menurut Presiden SEAS Dr. Zainab Kassim, untuk mendapatkan keputusan A dalam matapelajaran Bahasa Inggeris terutama murid dari kawasan pedalaman amat membanggakan, namun lebih membanggakan apabila murid berkenaan menunjukkan perubahan ketara dari seorang yang sederhana menjadi pelajar cemerlang.

Perubahan sikap dan anjakan usaha ini yang perlu dicontohi dan oleh itu, SEAS menaja tiket penerbangan pergi dan balik ke London, United Kingdom untuk Sharatun.

Semasa di London, SEAS telah mengatur lawatan Sharatun ke University of Oxford dan Cambridge University yang merupakan di antara universiti terbaik di dunia.

Bukan hanya sekadar lawatan, Sharatun berpeluang berjumpa dengan seorang pakar dan penyelidik terkemuka di bidang kardiologi (jantung) di University of Oxford Dr. Masliza Mahmod.

Sementara itu di Cambridge University pula, beliau diraikan oleh seorang graduan Masters dari universiti berkenaan Aliya Ahmad Nabil. 

Selain itu, Sharatun turut melawat British Library bersama Elizabeth Kalinauckas. 

British Library merupakan perpustakaan terbesar di dunia dari segi jumlah koleksi bahan dengan anggaran kira-kira 200 juta unit bahan bacaan.

Sharatun juga diraikan oleh Chef Kak Ani di restoran kegemaran ramai di kota London iaitu di Malaysia Hall London. 

Sharatun juga berpeluang melawat Bank Negara Malaysia London Office. Beliau sangat tertarik bila dapat berbincang dengan dua orang dealers Zaril Razak dan Azhari Mohamad Yusof yang diperkenalkan oleh Halimah Ibrahim.

Antara saat yang paling manis ialah apabila Sharatun keluar bersiar-siar di kota London bersama kawan-kawan baharu yang dikenali sewaktu menyertai 'students attachment program' di Madani Girls School in Whitechapel, London.

Sharatun juga teruja apabila berpeluang bertemu semula dengan beberapa orang bekas Fasilitator SEAS English Camp 2019 yang menetap dan belajar di London.

Akhir sekali, Sharatun juga berpeluang menimba pengalaman di pusat rawatan rapi neonatal di King's College Hospital London.

Dr. Zainab Kassim yang juga merupakan pakar neonatologist telah menyelia Sharatun selama beberapa hari di unit berkenaan.

 Jamawi merakamkan gambar kenangan bersama Sharatun selepas bertemu dengannya.
SEMANGAT: Jamawi merakamkan gambar kenangan bersama Sharatun selepas bertemu dengannya.

Dalam sesi penutupan, sebelum Sharatun pulang ke tanah air, Jamawi turut berpesan kepada Sharatun untuk memanfaatkan pengalamannya sepanjang di London sekaligus menjadikan ia motivasi serta inspirasi kepada kawan-kawan yang lain.

Dr. Zainab turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang serta menjayakan program lawatan Sharatun itu.

  • oleh
  • Advertisement