Anda di sini

Korban banjir di Jakarta meningkat 30 orang

Advertisement
Keadaan banjir di Jakarta yang telah meragut 30 nyawa setakat Jumaat. - Gambar Bernama
Keadaan banjir di Jakarta yang telah meragut 30 nyawa setakat Jumaat. - Gambar Bernama

JAKARTA: Korban akibat banjir yang melanda Jakarta sejak Rabu lepas, meningkat kepada 30 orang.

Walaupun keadaan banjir semakin pulih hari ini, namun lebih 60,000 orang dilaporkan masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), jumlah mangsa banjir berkenaan adalah berdasarkan perangkaan setakat 9 malam tadi dan mereka yang terkorban adalah akibat lemas dihanyutkan arus deras, tertimbus tanah runtuh, terkena renjatan elektrik dan mengalami hipotermia.

Selain beberapa kawasan di ibu kota Jakarta, beberapa kawasan di kota berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir berikutan hujan lebat pada awal pagi Rabu lepas.

"BNPB meminta penduduk yang rumah mereka masih dinaiki air berpindah ke tempat selamat berikutan hujan lebat diramalkan terus berlaku dan dibimbangi air akan naik mendadak," kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan menyatakan antara punca banjir adalah disebabkan hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi sebelum ini adalah pada 2007 dengan bacaan 340 mm.

BMKG turut menyatakan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 10 Jan ini. - Bernama 

Advertisement