Anda di sini

Kastam sita 42 kereta mewah bernilai RM6.5 juta dengan jumlah cukai RM10.2 juta

Advertisement
Antara kenderaan mewah yang disita.
Kereta-kereta import mewah yang disita untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Cubaan sebuah syarikat mengimport kereta mewah mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan kereta mewah yang disyaki diseludup masuk di kawasan tempat letak kereta sebuah pusat ibadat berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, semalam.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata satu operasi telah dilakukan sekitar jam 11.30 pagi hari berkenaan yang membawa kepada penemuan 42 buah kereta mewah dianggarkan bernilai sekitar RM6.5 juta.

Menurutnya, kesemua kereta mewah yang terdiri daripada pelbagai model tersebut kemudian dirampas kerana disyaki tidak dibayar cukai mencecah RM10.2 juta.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas kereta-kereta yang terdapat di premis tersebut mendapati pihak syarikat gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang diperlukan untuk menentusahkan kereta tersebut telah berbayar cukai.

"Kereta tersebut kemudian disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

dibawa ke Ibu Pejabat Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.
 

Tambahnya juga, kesemua kereta tersebut disembunyikan di tempat letak kereta sebuah pusat ibadat yang disewa RM5,000 sebulan yang turut dijadikan tapak pameran.

"Syarikat berkenaan menggunakan kawasan tempat letak kereta sebuah rumah ibadat yang luas di belakang premis jualan tersebut untuk mengelirukan pihak berkuasa," jelasnya.

Bercakap mengenai modus operandi syarikat terbabit, Sharifah memberitahu kesemua kereta import mewah tersebut diseludup keluar dari gudang berlesen milik Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaam Melayu Malaysia (PEKEMA).

"Bagaimanapun dipercayai duti dan cukai (RM10.207 juta) kereta mewah tersebut belum berbayar tetapi siap sedia untuk jualan kepada pengguna dan orang awam," katanya.

Kes tersebut disiasat atas pelanggaran peruntukan dibawah Seksyen 75 Akta Kastam 1967 kerana memindah barangan berduti daripada kawalan Kastam tanpa kebenaran dan kelulusan.

JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import.

Laporan boleh dibuat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement