Anda di sini

Banjir di Indonesia meragut 23 nyawa

Advertisement
 Kereta kuda dilihat mengharungi banjir selepas hujan lebat di Jakarta, Indonesia kelmarin. — Gambar Dasril Roszandi/AFP
BANJIR: Kereta kuda dilihat mengharungi banjir selepas hujan lebat di Jakarta, Indonesia kelmarin. — Gambar Dasril Roszandi/AFP

JAKARTA: Agensi bencana Indonesia memberi amaran semalam mengenai lebih banyak kematian selepas hujan lebat melanda wilayah Jakarta, mencetuskan banjir dan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang, dan menenggelami kawasan megapolis itu yang luas.

Puluhan ribu penduduk sudah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kawasan tersebut, yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk, dengan puluhan rumah yang rosak.

Imej dari seluruh wilayah tersebut menunjukkan rumah yang dimasuki air dan kereta yang ditutupi air banjir yang keruh, manakala beberapa orang mendayung bot keselamatan getah yang kecil atau tiub dalaman tayar untuk bergerak.

Sekurang-kurangnya 21 orang maut di pusat utama Jakarta, manakala dua lagi mati dalam banjir kilat yang berlaku di daerah Lebak di selatan Pulau Jawa.

“Jumlah terkini adalah 21 kematian,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial Juliari Peter Batubara kepada pemberita semalam.

“Kita harap jumlah itu tidak akan asyik meningkat,” tambahnya.

Di Lebak, agensi bencana tempatan berkata ia sudah mengesahkan kematian dua penduduk dan ia sedang menyiasat laporan bahawa tiga orang lagi telah mati.

Polis di Lebak berkata mereka sedang mencari se-ramai lapan orang yang mungkin masih hilang dari kawasan berkenaan.

Di sekitar Jakarta, seorang budak lelaki berusia lapan tahun maut dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang pesara berusia 82 tahun turut disahkan sebagai mangsa.

Mangsa mati kerana lemas, hipotermia dan ditimpa tanah runtuh, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terkena renjatan tali elektrik.

“Banjir berlaku tanpa amaran,” kata Munarsih, yang menggunakan satu nama, dari kawasan kejiranannya yang ditenggelami air di kawasan pinggir bandar Jakarta di mana puluhan keluarga tempatan lari ke tempat se-lamat.

“Air tiba dengan sangat cepat dan ia naik dengan pantas. Kami tidak dapat mengeluarkan barangan kami, termasuk kereta saya,” tambahnya.

Kelmarin, bekalan elektrik dipadamkan di banyak da-erah Jakarta untuk mengelak renjatan elektrik lain, dan beberapa laluan kereta api dan salah sebuah lapangan terbang di bandar raya itu juga ditutup.

Hujan lebat mencetuskan kejadian tanah runtuh di kawasan pinggir bandar raya.

Bencana itu merupakan banjir terburuk di Jakarta sejak 2013 apabila puluhan terbunuh selepas bandar raya itu dilanda hujan monsun.

Bandar raya itu kerap dilanda banjir pada musim hujan di Indonesia, yang bermula pada hujung November lalu.

Pihak berkuasa semalam berkata kira-kira 31,000 orang sudah dipindahkan, tetapi angka itu tidak termasuk penduduk di bandar-bandar satelit di Jakarta.

Perkhidmatan di lapangan terbang Halim Perdana-kusuma, yang mengendali-kan pesawat komersial dan tentera, ditutup buat sementara waktu kerana banjir buruk di landasannya, menurut kementerian pengangkutan. Ia dibuka semula semalam.

Beberapa penerbangan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta yang utama di Jakarta. — AFP

Advertisement