Anda di sini

Menjaga kesihatan badan sebagai azam tahun baharu

Advertisement
 

SEMASA saya sedang menerima hidangan Nasi Padang di tengah kota Jakarta di tempat makan yang memang sangat terkenal kerana menyaji beragam kuliner khas Tanah Minang dengan cita rasa yang sangat khas, ketika persinggahan saya di situ tiga minggu lepas, secara tiba tiba, pemesejan WhatsApp saya berbunyi menunjukkan mesej daripada kawan baik saya Lawrence yang hanya akan menghubungi saya jika ada perkara yang mustahak.

Dalam kebimbangan saya berdoa semoga firasat saya tidak tepat walaupun saya mempunyai 'gerak' yang ada sesuatu telah berlaku.

Mesej beliau membawa berita bahawa kawan baik kami JCL telah jatuh sakit dan dimasukkan di hospital kerana kehilangan ingatan atau 'loss of memory'. Apa? Hilang ingatan? Saya berdebat dengan sendiri dalam kekufuran. JCL, kawan rapat saya semasa kami di London lagi pada tahun 70-an, dikenali sebagai seorang yang aktif dalam seni mempertahankan diri dan dia kelihatan sihat tanpa tanda-tanda yang di sebaliknya. 

 Aktiviti sukan golf boleh meningkatkan jangka hayat, membantu dengan penurunan berat badan, memberikan kepadatan tulang yang kuat.
GOLF: Aktiviti sukan golf boleh meningkatkan jangka hayat, membantu dengan penurunan berat badan, memberikan kepadatan tulang yang kuat.

Pelik juga? Penyakit hilang ingatan merupakan salah satu penyakit yang boleh terjadi secara tiba-tiba, atau berkembang secara perlahan. 

Keadaan ini merupakan gejala dari suatu masalah kesihatan serius yang mengganggu daya ingatan. Saya tidak mahu percaya bahawa JCL telah diserang penyakit hilang ingatan yang menyebabkan dia tidak mampu mengingat pengalaman, kejadian yang pernah dialami, mengingat informasi dan berkesulitan untuk membentuk ingatan baharu.

Adakah kami terlepas pandang sesuatu tentang beliau? Dalam penafian dan kejutan, saya berdoa semoga kehilangan ingatan JCL hanya satu fenomena sementara dan dia akan pulih tidak lama lagi.

 Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
MAKANAN SEIMBANG: Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Mengambil iktibar daripada peristiwa jatuh sakit JCL, ternyata penyakit boleh menyerang pada sesiapa sahaja pada bila-bila masa tanpa mengira usia. 

Kita tidak boleh menafikan bahawa mengekalkan kesihatan yang baik tidak berlaku secara automatik atau tidak sengaja. Mengabaikan kesihatan boleh menjejaskan kebahagian hidup kita.

Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Menjaga kesihatan badan adalah sangat penting bagi semua individu tidak kira faktor usia. Namun begitu, pelbagai penyakit kini semakin berleluasa malah banyak yang menyebabkan kematian. 

Keadaan ini tidak boleh dipandang remeh dan sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang berkesan. Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang
sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. 

Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang berperanan membekalkan pelbagai jenis mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita. Makan buah-buahan segar adalah satu bahagian penting dalam kehidupan sihat. Sayur-sayuran juga sama pentingnya dengan buah-buahan. 

Sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai warna-warna terang kaya dengan anti-oksida. Pastikan anda memasukkan produk-produk makanan itu dalam diet harian anda. Di samping itu, kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Makan makanan yang diproses bukanlah satu idea yang baik. Ia tidak baik untuk kesihatan kerana makanan akan kehilangan nilai khasiatnya selepas diproses, dan bahan pengawet yang ditambah kepadanya tidak baik untuk kesihatan sama sekali. Kandungan garam sangat tinggi dalam kebanyakan makanan yang diproses. Ia boleh membawa kepada tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

 Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
MAKANAN SEIMBANG: Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Kebanyakan kita tidak minum air secukupnya. Air merupakan sumber asas yang sangat penting untuk fungsi badan kita. Kira-kira 60 peratus daripada badan terdiri daripada air dan ia adalah ramuan penting dalam menjalankan fungsi tubuh badan kita. Ia juga dapat membantu dalam menyingkirkan bahan buangan dan membawa oksigen dan nutrien ke seluruh badan. 

Badan kita kehilangan air sepanjang masa melalui perpeluhan, air kencing, pernafasan dan lain-lain. Ia adalah penting bahawa peratusan air dikekalkan dalam badan supaya fungsinya boleh pergi tanpa apa-apa masalah.

Obesiti pada hari ini telah menjadi isu semasa dan ini adalah penting untuk memberi perhatian khusus kepada diet dan aktiviti fizikal. Sentiasa pantau berat badan adalah salah satu cara untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat. 

Selain itu, kita haruslah mengamalkan amalan bersukan dan bersenam. Seseorang individu mestilah menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu dan 30 minit bagi setiap sesi. 

Kerap bersenam adalah kunci kepada hidup sihat. Aktiviti fizikal adalah bahagian penting daripada rutin harian anda kerana ia meningkatkan jangka hayat, membantu dengan penurunan berat badan, memberikan kepadatan tulang yang lebih tinggi, dan mengurangkan risiko penyakit, di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

Pilihan gaya hidup yang sihat memerlukan pemeriksaan kesihatan pada
tempoh tetap. Kita mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-
kurangnya sekali dalam setahun. Hal ini bertujuan memastikan tubuh badan berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang penyakit. 

Pemeriksaan kesihatan mestilah kerap dilakukan supaya dapat memulakan rawatan dari peringkat awal sekiranya didapati menghidap sebarang penyakit. Di samping itu, setiap individu mestilah mendapatkan tidur dan rehat yang cukup. 

Dalam kesibukan menjalani aktiviti harian, keperluan tubuh badan tidak wajar diabaikan. Rehat adalah satu bahagian penting dalam kehidupan yang sihat di mana tubuh badan kita memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus berfungsi dengan baik. Tanpa rehat yang secukupnya, tubuh badan akan menjadi letih dan lesu sekaligus menyebabkan semua aktiviti tergendala. 

Oleh itu, rehat dan tidur yang cukup amat diperlukan. Bermeditasi atau bertafakur juga adalah cara terbaik untuk menenangkan fikiran. Ia mempunyai kesan positif ke atas fikiran dan membawa ketenangan dalam hidup minda yang tenang membawa kepada kehidupan yang bahagia dan sihat, mempunyai pemikiran positif adalah penting untuk kehidupan yang sihat dan meditasi membantu dengan pemikiran yang positif.

Memandangkan kos perubatan pada hari ini amatlah tinggi lebih-lebih lagi melibatkan kes kecemasan, mempunyai insurans kesihatan adalah penting.

Bukan sahaja ia boleh membantu kita dari segi perubatan sahaja malah membantu kita untuk mengekalkan ketenangan fikiran dari memikirkan masalah bil-bil hospital. Terdapat beberapa syarikat-syarikat yang menyediakan Insurans Perubatan yang bagus, dan ia merupakan bantuan segera untuk kesihatan yang baik.

 Hidangan Nasi Padang di tengah kota Jakarta.
MENYELERAKAN: Hidangan Nasi Padang di tengah kota Jakarta.

Kita baru saja langkah ke tahun baru 2020, adalah wajar bagi kita membuat satu keputusan supaya memastikan diri kita menjaga kesihatan dengan baik sejak peringkat awal lagi. Sesungguhnya, kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai.

Oleh itu, kita bertanggungjawab memelihara kebaikan yang telah dikurniakan kepada kita. Jangan nanti sudah ditimpa musibah baru hendak bertindak kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

  • oleh
  • Advertisement