Anda di sini

Mengamuk pukul abang dan rosakkan motosikal bapa, lelaki dipenjara dua tahun

Advertisement
 

KUCHING: Tindakan seorang lelaki yang mengamuk dan memukul abangnya serta merosakkan motosikal bapanya pada September tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman demikian terhadap Mohamad Aimi Affendy, 29 selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Pada 30 September tahun lalu, tertuduh tiba-tiba mengamuk di rumah bapanya di Kampung Tabuan Lot di sini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, tertuduh bertindak secara agresif dengan memukul abangnya yang berusia 32 tahun menggunakan sebatang kayu.

Akibat perbuatan itu, abangnya cedera di kepala dan bahagian kiri telinga. 

Tertuduh seterusnya bertindak merosakkan motosikal milik bapanya yang berusia 54 tahun menggunakan sebilah parang.

Nilai kerugian dianggar berjumlah RM1,000. 

Dalam kejadian itu, tertuduh juga dikatakan berada dalam keadaan mabuk.

Kerana dengan sengaja mencederakan ahli keluarga sendiri, tertuduh didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama 326A kanun sama.

Mahkamah menetapkan dia dipenjara setahun dan dikenakan dua sebatan bagi kesalahan tersebut.

Manakala kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik bapanya, tertuduh didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta dijatuhi hukuman penjara setahun.  

Kedua-dua hukuman diarahkan berjalan serentak mulai hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Daniel Ilham Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement