Anda di sini

Rangka kerja kemakmuran bersama: Kompas perancangan nasional negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Melangkah ke dekad baharu, Malaysia yang mempunyai misi besar untuk dekad akan datang, akan menjadikan rangka kerja Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) sebagai panduan dan kompas untuk merealisasikan perancangan nasional itu untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kini menjadi sasaran baharu menggantikan Wawasan 2020 dalam memastikan Malaysia menjadi negara yang lebih maju.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lepas, WKB2030 menghidupkan satu lagi naratif yang mudah, namun menyegarkan dalam menggambarkan usaha kerajaan untuk menyusun semula ekonomi bagi membolehkan semua orang menikmati taraf hidup yang berpatutan menjelang 2030.

Walaupun sudah berjaya menjadi negara perdagangan dan sebagai Harimau Asia, Malaysia perlu menangani isu punca pendapatan isi rumah, terutama peluasan ekonomi dan jurang pendapatan yang boleh membawa kepada rasa tidak selamat.

Tindakan secara kolektif perlu bagi memakmurkan negara, namun defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat, di mana saja di dunia, pasti akan mengekang kelancaran kejayaan pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan, dan ini sudah pasti tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun.

WKB2030 akan memberi penekanan kepada pewujudan ekonomi bernilai tinggi, teknologi tinggi serta sumber kepelbagaian dan potensi pertumbuhan, dan pada masa yang sama mewujudkan dasar dan tahap keselesaan yang sesuai dalam hala tuju ekonomi negara, bukan sahaja meredakan kebimbangan, bahkan dapat menyatukan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelan tindakan WKB2030 akan menyediakan ‘caj turbo’ yang diperlukan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

Ini seterusnya akan mengangkat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat.

Untuk mencapai matlamat ini dalam dekad yang akan datang, kerajaan akan menggariskan pelan ekonomi dengan membangunkan bidang pertumbuhan baharu untuk menjana kekayaan dengan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bergaji tinggi.

Ini akan memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif, mampan dan bermakna yang dapat menyediakan taraf hidup yang bersesuaian untuk semua rakyat Malaysia, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan Pakatan Harapan telah menggembling aspirasi rakyat sejak mula berkuasa pada Mei 2018, menerusi tiga objektif.

Objektif pertama adalah menerusi pembentukan semula ekonomi kepada ekonomi berasaskan pengetahuan supaya semua kumpulan dapat menyertai pada setiap peringkat, dan mengembangkannya bersama untuk menjadi lebih progresif.

Kedua adalah untuk menangani jurang pendapatan yang tidak akan meninggalkan sesiapa pun, dan ini mengambil kira perbezaan etnik, kedudukan sosial, serta pelbagai wilayah di Malaysia.

Yang ketiga pula merupakan gabungan pertama dan kedua iaitu mewujudkan Malaysia yang lebih bersatu dan makmur untuk menjadi pusat baharu Asia.

Pada masa yang sama, kerajaan terus berwaspada dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuh daya tahan jangka pendek Malaysia dan memajukan reformasi struktur untuk meningkatkan pertumbuhan jangka sederhana.

Oleh itu, potensi negara akan terus dioptimumkan dengan mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan.

Keutamaan juga akan diberikan kepada sektor perkilangan bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi, pelbagai dan kompleks.

Untuk itu, tumpuan adalah untuk mengukuhkan bidang dengan potensi pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, peranti perubatan, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, serta bahan kimia dan produk kimia.

Selain itu, pembangunan dan pemodenan industri berasaskan sumber melalui inisiatif penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi juga akan diberikan keutamaan.

Turut mendapat perhatian ialah usaha bersepadu di peringkat kementerian untuk meletakkan asas objektif WKB2030 dalam program masing-masing.

Antaranya, Kementerian Kewangan menerusi Khazanah Nasional, sebagai penyedia perkhidmatan e-dompet, akan melaksanakan inisiatif e-Tunai Rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata program e-Tunai Rakyat adalah sejajar dengan agenda Kemakmuran Bersama kerajaan, yang bermatlamat untuk mengurangkan halangan kepada akses teknologi digital dan menjadikan proses digitalisasi dapat diakses semua.

Kementerian Kesihatan juga akan membentangkan dasar baharu yang dikenali sebagai ‘Dasar Sihat Bersama 2030’, sebagai agenda utamanya dalam mengubah sistem kesihatan negara selaras dengan WKB2030.

Menterinya Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata dasar jangka panjang itu merupakan versi kemakmuran bersama sektor kesihatan, yang melibatkan pelan menyeluruh dalam penjagaan kesihatan awam dan swasta.

Dr Mahathir, yang menyifatkan WKB2030 sebagai visi dan hadiah kepada generasi semasa dan akan datang, turut berkongsi rangka kerja di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri juga menggesa anggota ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) supaya melaksanakan falsafah kemakmuran bersama dan mengaplikasikannya dalam ekonomi semasa.

Sebagai tuan rumah sidang kemuncak APEC 2020, Malaysia memilih tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Kemakmuran Bersama’ yang menunjukkan pentingnya falsafah tersebut.

Malaysia pastinya mahu melihat konsep kemakmuran bersama yang memacu Pasca Wawasan 2020 untuk APEC, melangkau setiap program yang dilaksanakan oleh APEC yang berupaya bergerak melampaui Matlamat Bogor, selain meneruskan program untuk wanita dalam ekonomi, keterangkuman kewangan, melibatkan belia serta pembangunan mampan.

“Kami akan terus mewujudkan persekitaran kondusif untuk usahawan, syarikat pemula niaga dan perusahaan sosial, memandangkan elemen ini merupakan komponen kritikal dalam sistem yang boleh menyumbang kepada kemakmuran bersama,” menurut perdana menteri semasa melancarkan APEC 2020.

Azmin juga mempromosi WKB2030 semasa Sidang Kemuncak KL bagi merapatkan jurang antara negara kaya dan miskin.

Di Asia Tenggara, Malaysia berusaha gigih untuk menjalin pakatan strategik menerusi prinsip ‘memakmurkan jiran’  yang menggalakkan prinsip Kemakmuran Bersama.

Beliau menggalakkan negara Islam lain supaya mewujudkan satu rangka kerja sama seperti WKB2030 memandangkan pakatan itu akan mewujudkan kestabilan di rantau ini, dengan peluang untuk melabur dan mewujudkan pekerjaan dan kekayaan baharu.

Bagi model ekonomi baharu yang dilaksanakan dengan baik, adil dan saksama, kemakmuran besama bukan sahaja bermatlamat untuk memberi, sebaliknya ia turut mewujudkan peluang yang boleh mendorong Malaysia menjadi negara maju yang mampan dan terangkum. — Bernama

Advertisement