Anda di sini

Filem oleh pengarah wanita bakal kuasai Hollywood tahun ini

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Patty Jenkins (kanan) dan Gal Gadot semasa berada di lokasi filem pertama ‘Wonder Woman’.
KUASA WANITA: Gambar fail menunjukkan Patty Jenkins (kanan) dan Gal Gadot semasa berada di lokasi filem pertama ‘Wonder Woman’.

PENGARAH wanita bakal menikmati tahun yang cemerlang di Hollywood pada 2020, menurut satu tinjauan yang diterbitkan baru-baru ini yang mendapati empat buah filem yang amat dinanti-nantikan pada tahun ini semuanya diterajui wanita.

Ia adalah trend yang amat unik sekali di bandar yang selama ini mencalonkan hanya lima orang wanita sahaja untuk anugerah Oscar bagi pengarah terbaik, dengan sikap yang kadang-kadang sambil lewa mengenai kebencian kepada orang perempuan didedahkan oleh pergerakan #MeToo yang menjatuhkan Harvey Weinstein.

‘Wonder Woman 1984’, filem sekuel yang dibintangi Gal Gadot pada Jun akan datang, dipilih sebagai filem yang paling dinanti-nantikan pada tahun ini oleh lebih 2,000 penonton filem yang ditinjau oleh laman sesawang Fandango.

Patty Jenkins kembali mengarah selepas filem pertama, berdasarkan wirawati Amazon ciptaan DC Comics, mengaut AS$820 juta yang menakjubkan di seluruh dunia pada 2017.

Dua filem seterusnya dalam senarai juga merupakan filem-filem adiwira.

‘Black Widow’, yang memulakan fasa baharu bagi filem-filem Marvel, memberi filemnya sendiri kepada watak popular Scarlett Johansson yang kerap muncul. Ditayangkan pada Mei nanti, ia diterajui oleh Cate Shortland.

Ia disusuli filem arahan Chloe Zhao berjudul ‘The Eternals’, yang pada November akan memperkenalkan beberapa watak baharu Marvel lakonan barisan pelakon bintang termasuk Angelina Jolie, Salma Hayek dan Kit Harington.

Filem keempat paling dinanti-nantikan pada tahun baharu ini adalah ‘Mulan’ oleh  Niki Caro, filem terbaharu dalam siri pembikinan semula secara aksi hidup oleh Disney bagi filem-filem kartun klasik, dan akan keluar pada Mac.

Sebuah lagi filem adiwira yang diarah oleh wanita berjudul ‘Birds of Prey’, filem keluaran sampingan daripada ‘Suicide Squad’ pada 2016 yang menyaksikan Margot Robbie kembali sebagai Harley Quinn, turut muncul dalam senarai, di tempat ketujuh.

Cathy Yan mengarah filem yang akan keluar pada Februari itu.

Filem lain pada 2020 yang menarik minat termasuk filem James Bond ‘No Time to Die’, filem animasi jazz dunia ghaib terbitan Pixar ‘Soul’ dan ‘Fast & Furious 9’ – filem terbaharu dalam francais ‘petrolhead’ yang malar segar. — AFP

Advertisement