Anda di sini

Bunuh, rogol, seksa: Bekas pemimpin politik Ivory Coast dipenjara 20 tahun

Advertisement

ABIDJAN: Bekas pemimpin politik Ivory Coast Charles Ble Goude kelmarin berkata dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun ‘in absentia’ oleh sebuah mahkamah di negara itu atas tuduhan membunuh, merogol dan menyeksa.

Ble Goude dilepaskan daripada jenayah kemanusiaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague pada tahun ini, bersama ketua lamanya, bekas presiden Ivory Coast,  Laurent Gbagbo.

Namun selepas dia dibebaskan, sebuah mahkamah Ivory Coast mengadakan perbicaraan baharu terhadapnya berhubung pertumpahan darah pada 2010-2011 yang menyusuli pilihan raya kontroversi di negara Afrika Barat itu.

Bekas pembantu Gbagbo itu, yang terus tinggal di Belanda selepas perbicaraannya di ICC sementara menunggu rayuan yang kemungkinan akan dibuat oleh pihak pendakwaan, memberitahu AFP mahkamah Ivory Coast telah mensabit kesalahan ke atasnya kelmarin.

Dia berkata dia “terkejut dengan keputusan itu”, dan menambah dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun, 10 tahun dilucutkan daripada hak sivilnya, dan denda sebanyak 200 juta franc CFA (RM1.4 juta) untuk dibayar kepada mangsa.

Mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap untuknya, tambahnya.

Kira-kira 3,000 orang mati dalam pergolakan yang melanda Abidjan, dahulu salah sebuah bandar raya paling kosmopolitan di Afrika, selepas pilihan raya presiden pada November 2010 apabila Gbagbo enggan menerima kekalahan kepada musuh ketat Alassane Ouattara, yang masih memegang kuasa.

Leonard Lebry, ketua pendakwa raya di Mahkamah Rayuan di Abidjan pernah menyatakan kes terhadap Ble Goude, yang pernah digelar “jeneral jalanan” kerana keupayaannya untuk menggerakkan penyokong Gbagbo sewaktu konflik berkenaan, adalah “lebih luas” daripada pendakwaan ICC dan meliputi pelbagai peristiwa yang berlainan.

“Mahkamah akan membicaranya (Ble Goude)” atas tuduhan “menyeksa, membunuh, merogol”, kata Lebry pada bulan lepas.

Gbagbo, bekas ketua negara yang pertama menghadapi perbicaraan di ICC, dan Ble Goude dibicara kerana tanggungjawab bagi pembunuhan, cuba membunuh, merogol, penindasan dan “perbuatan lain yang tidak berperikemanusiaan” dalam keganasan selama lima tahun, tetapi kedua-duanya tidak mengaku bersalah.

Mereka dibebaskan oleh ICC untuk tinggal di Belgium pada Februari lalu di bawah syarat termasuk dia akan kembali ke mahkamah bagi sebarang rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Ble Goude tinggal di Belanda di bawah syarat-syarat yang sama.

Pada bulan lepas, mah-kamah Ivory Coast menolak rayuan berhubung hukuman ke atas Gbagbo dan tiga pembantunya pada Januari 2018 bagi “rompakan” ke atas Bank Pusat Negara-Negara Afrika Barat (Bceao) sewaktu krisis pasca pilihan raya.

Pembangkang mendakwa Ouattara cuba menghalang Gbagbo daripada kembali ke negara sebelum pilihan raya 2020 yang dijangka akan menjadi ujian getir bagi Ivory Coast, yang sudah lama mencatatkan ekonomi terbaik di barat Afrika dan merupakan pengeluar koko utama di dunia. — AFP

Advertisement