Anda di sini

‘Star Wars: The Rise of Skywalker’ terus menguasai box office AS

Advertisement

FILEM ‘Star Wars: The Rise of Skywalker’ terus mendominasi pawagam-pawagam di Amerika Utara, mencatat anggaran AS$73.6 juta untuk tayangan tiga hari pada hujung minggu, lapor pemerhati industri Exhibitor Relations pada Ahad.

Filem Disney itu, yang dipasarkan sebagai ‘grand finale’ untuk sembilan filem ‘Skywalker Saga’, telah mendapat ulasan yang bercampur-campur dengan kutipan jualan tiket pada hujung minggu jauh berkurangan daripada jumlah besar AS$177.4 juta pada hujung minggu pembukaannya.

Tetapi ia tetap memperolehi jumlah kutipan di Amerika Utara yang kukuh iaitu sebanyak AS$364.5 juta.

Ia juga masih lagi jauh di hadapan filem No.2, ‘Jumanji: The Next Level’ daripada Sony, iaitu sebuah filem sekuel aksi dibintangi Dwayne ‘The Rock’ Johnson dan Kevin Hart, yang memperolehi AS$34.4 juta di Amerika Utara untuk tempoh tayangan tiga hari dari Jumaat hingga Ahad.

Di tempat ketiga untuk dua minggu berturut-turut adalah filem ‘Frozen II’ Disney, dengan AS$17 juta. Filem muzikal animasi itu menampilkan bintang Broadway Idina Menzel sebagai suara Ratu Elsa dalam pengembaraan mutakhirnya.

Novel klasik Louisa May Alcott, ‘Little Women’ telah banyak kali dibawa ke skrin, di mana menurut Variety tidak kurang daripada tujuh kali, tetapi versi baharu daripada pengarah Greta Gerwig telah menarik ulasan yang kuat dan memperolehi AS$16.2 juta untuk berada di tempat keempat dalam penampilan pertamanya pada hujung minggu.

Filem itu dibintangi oleh Saoirse Ronan, Florence Pugh, Timothee Chalamet, Emma Watson dan Laura Dern, dalam kisah suka duka kehidupan empat adik-beradik perempuan semasa Perang Saudara AS.

Di tempat kelima adalah filem baharu Fox/Disney, ‘Spies in Disguise’ dengan AS$13.4 juta. Filem animasi kanak-kanak itu menampilkan suara Will Smith dan Tom Holland dalam watak utamanya.

Melengkapkan 10 filem teratas pada hujung minggu adalah ‘Knives Out’ (AS$9.9 juta), ‘Uncut Gems’ (AS$9.4 juta), ‘Bombshell’ (AS$4.8 juta), ‘Cats’ (AS$4.8 juta), dan ‘Richard Jewell’ (AS$3 juta). — AFP

Advertisement