Anda di sini

Pendigitalan ekonomi negara beri manfaat untuk semua: Lim

Advertisement
 Lim Guan Eng (tengah) bersalaman dengan ‘smarter robotics’ yang diberi nama ‘Ruzr’ pada Penutup Festival Putrajaya LIFT 2019 di Kementerian Kewangan semalam. — Gambar Bernama
MAJU: Lim Guan Eng (tengah) bersalaman dengan ‘smarter robotics’ yang diberi nama ‘Ruzr’ pada Penutup Festival Putrajaya LIFT 2019 di Kementerian Kewangan semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan pendigitalan ekonomi negara tidak akan menyisihkan mana-mana pihak dalam arus kemajuan mengikut perkhidmatan 3A - ‘available, accessible & affordable’ (tersedia, boleh diakses dan berpatutan), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau yang memetik laporan Jabatan Perangkaan, berkata ekonomi digital juga dijangka menyumbang lebih 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.

“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM450 juta untuk program e-dompet bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga,” katanya pada majlis penutup Festival Literasi Teknologi Kewangan (LIFT) Putrajaya 2019, di sini semalam.

Program e-dompet yang dijangka memanfaatkan 15 juta rakyat, menawarkan RM30 secara ‘sekali-bayar’ kepada mereka berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, yang boleh dibelanjakan pada Januari dan Februari depan.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi digital negara, kerajaan melabur RM21.6 bilion pada tahun ini sehingga 2023 bagi merealisasikan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara yang akan memperluaskan akses kepada internet jalur lebar berkelajuan tinggi pada kos yang berpatutan.

Selain itu, katanya, kerajaan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana melaksanakan usaha pendigitalan proses perniagaan menerusi insentif berjumlah RM3.7 bilion dalam tempoh lima tahun.

Malah, kerajaan menawarkan skim jaminan bernilai RM6 bilion untuk menggalakkan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi industri 4.0 seperti kecerdasan buatan, Analisis Data Raya dan robotik dalam kalangan syarikat tempatan, kata Lim.

“Ekonomi digital tidak bergantung kepada infrastruktur dan program sahaja. Pasaran yang kompetitif juga penting,” katanya.

Menurutnya, dasar bagi menangani kuasa monopoli juga terbukti berjaya meningkatkan jumlah pengguna jalur lebar berkelajuan tinggi melebihi 100 megabit sesaat (mbps) kepada 1.2 juta orang pada akhir 2018 berbanding 155,000 pengguna sebelum dasar itu dilaksanakan pada penghujung 2017.

Dalam pada itu, beliau mengingkatkan, selain menikmati pendigitalan ekonomi negara dan kemudahan moden, masyarakat juga perlu peka dan berwaspada dengan gejala jenayah siber yang berleluasa.

Memetik laporan Cybersecurity Malaysia, beliau berkata sebanyak 7,092 kes penipuan digital telah dilaporkan bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini dan mengatasi sejumlah 5,123 kes seumpamanya pada 2018.

“Di samping menyokong pendigitalan ekonomi, kerajaan sentiasa memastikan supaya penyedia perkhidmatan digital dan kewangan turut mengambil berat mengenai langkah keselamatan di platform masing-masing,” katanya. — Bernama

Advertisement