Anda di sini

Pemuda  didenda RM10,500  kerana mencuri, lupus barang curi

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 34 tahun didenda RM10,500 atau penjara setahun enam bulan sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mencuri dan melupuskan barang curi.

Abang Azzizil Hamid Abang Shukor yang berhadapan tiga pertuduhan membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada jam 11.44 malam, 20 November lalu didakwa mencuri sebuah telefon bimbit.

Menurut fakta kes, tertuduh berpura-pura berminat membeli telefon mangsa berusia 28 tahun dan hendak menunjukkannya kepada ibunya di bilik hotel di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim.

Dia juga berjanji hendak mengambil duit di bilik, selain meyakinkan penjual berkenaan dengan meninggalkan sebuah beg miliknya sebagai cagaran.

Namun, selepas 20 minit, tertuduh gagal tampil untuk membuat pembayaran.

Pada 27 November pula, tertuduh juga melakukan perbuatan sama dengan berpura-pura berminat untuk membeli sebuah komputer riba daripada mangsa berusia 34 tahun.

Tertuduh memeriksa komputer riba tersebut dan memberitahu mangsa bahawa dia mahu menunjukkan komputer riba itu kepada isterinya.

Bagaimanapun, mangsa menanti tertuduh lebih kurang 20 minit dan mendapati tertuduh gagal dihubungi. 

Kejadian berlaku di sebuah hotel di Jalan Abell pada jam 1 petang.

Untuk perbuatan terbabit, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dia didenda RM3,500 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar bagi setiap pertuduhan tersebut.

Dalam pada itu juga, tertuduh juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi berupa telefon bimbit.

Dia melakukan perbuatan tersebut pada 23 November lalu di sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg, jam 12.30 tengah hari. 

Tertuduh dalam hal ini telah menjual telefon bimbit curi dan juga didenda RM3,500 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement