Anda di sini

Pelancong dan bomba selamatkan diri daripada kebakaran di tenggara Australia

Advertisement
 Pandangan dari udara jelas kelihatan kebakaran belukar di Ellerslie, New South Wales, Australia semalam dalam gambar pegun diperoleh daripada video media sosial. — Gambar Reuters
HANGUS: Pandangan dari udara jelas kelihatan kebakaran belukar di Ellerslie, New South Wales, Australia semalam dalam gambar pegun diperoleh daripada video media sosial. — Gambar Reuters

SYDNEY: Pelancong dan anggota bomba terpaksa melarikan diri daripada kebakaran besar yang membara di tenggara Australia semalam, manakala gelombang bahang menghidupkan semula kebakaran belukar yang menyebabkan kemusnahan di negara tersebut.

Pihak berkuasa berkata “agak ramai” daripada 30,000 pelancong yang melawat hujung tenggara yang biasanya indah di benua itu telah mendengar seruan untuk pergi ke kawasan selamat.

Lebih 12 kebakaran sedang membara di kawasan desa East Gippsland, ada yang begitu kuat sehinggakan ratusan anggota bomba berundur daripada barisan kebakaran yang dianggarkan sepanjang 1,000 kilometer.

Ia dianggap “tidak selamat” bagi mereka untuk kekal dalam kawasan hutan belukar, kata pengawal insiden kebakaran Gippsland, Ben Rankin.

Ia merupakan kecemasan terbaharu pada musim kebakaran musim panas yang buruk di Australia, yang telah diburukkan lagi oleh kemarau berpanjangan dan perubahan iklim.

Sepuluh orang sudah terbunuh, lebih 1,000 buah kediaman musnah dan lebih tiga juta hektar – sebuah kawasan yang lebih besar daripada Belgium – telah musnah terbakar.

Keadaan bertambah buruk pada Jumaat lepas dengan ribut kencang dan suhu yang melonjak di seluruh negara – mencapai 47 darjah Celsius di Australia Barat, tetapi mencecah 40 darjah Celsius di setiap wilayah – termasuk pulau Tasmania yang biasanya beriklim sederhana.

Situasi “sangat tegang” kata Rankin, yang memberi amaran bahawa keadaan mungkin akan bertambah buruk menjelang petang sebelum suhu turun dengan ketara pada waktu malam.

Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada pelancong yang menikmati percutian musim panas Australia di East Gippsland bahawa kebakaran dijangka akan memutuskan jalan utama terakhir yang masih terbuka.

Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan Victoria Andrew Crisp berkata penduduk dan pelancong yang masih berada di kawasan tersebut boleh terkandas kerana ia sudah “terlalu lambat untuk keluar”, dan agensinya memberi amaran bahawa ia adalah “mustahil” untuk memberi bantuan kepada semua pelawat di kawasan itu.

Wilayah bersebelahan Australia Selatan turut mengalami keadaan kebakaran “yang membawa bencana”.

Brenton Eden dari Jabatan Bomba Negara berkata ia dijangka hari yang “sangat berbahaya” bagi rakyat di negeri itu, dan ribut petir “kering” – yang menghasilkan guntur dan kilat tetapi tiada hujan – sudah pun mencetuskan beberapa kebakaran termasuk satu kebakaran peringkat kecemasan di Pulau Kanggaru.

“Ribu bertiup kuat dan malangnya ini adalah barisan kilat kering yang akan bergerak dengan cepat merentasi Australia Selatan,” katanya kepada badan penyiaran negara ABC.

Keadaan juga dijangka akan bertambah buruk di New South Wales yang paling teruk terjejas, di mana 100 kebakaran membara pagi semalam termasuk lebih 40 yang tidak dapat dikawal.

Sydney dan bandar raya utama lain sudah diselubungi asbut asap kebakaran belukar yang toksik selama berminggu-minggu, yang memaksa kanak-kanak untuk bermain di dalam rumah dan menyebabkan acara sukan profesional dibatalkan.

Ibu negara Canberra telah membatalkan pertunjukan bunga api pada ambang Tahun Baharu kerana larangan kebakaran sepenuhnya dalam Wilayah Ibu Kota Australia, manakala beberapa bandar wilayah juga telah mengikuti contoh mereka.
Satu petisyen untuk membatalkan pertunjukan bunga api pada ambang Tahun Baharu yang terkenal di Sydney dan menggunakan wang itu untuk memadamkan kebakaran belukar yang mengelilingi bandar raya tersebut sudah mencecah 270,000 tandatangan, tetapi pegawai berkata pertunjukan itu akan diteruskan.

Sydney sudah membelanjakan Aus$6.5 juta (RM19.5 juta) untuk pertunjukan bunga api pada tahun ini – dana yang menurut petisyen Change.org adalah lebih baik dibelanjakan untuk menyokong anggota bomba sukarela dan petani yang mengalami kemarau buruk.

Krisis itu telah menarik perhatian kepada perubahan iklim – yang menurut saintis mewujudkan musim kebakaran belukar yang lebih lama dan lebih kuat – dan mencetuskan protes jalanan untuk menuntut tindakan segera bagi menangani pemanasan global.

Walaupun perdana menteri konservatif Scott Morrison lewat mengakui ada kaitan di antara kebakaran itu dengan perubahan iklim, dia masih juga menyokong kuat industri pelombongan arang batu yang lumayan di Australia dan menolak sebarang tindakan selanjutnya untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau. — AFP

Advertisement