Anda di sini

Doktor edit gen bayi dipenjara

Advertisement

BEIJING: Sebuah mahkamah di China semalam menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atas seorang doktor yang mengaku dirinya sebagai orang di sebalik bayi-bayi pertama di dunia dengan gen yang diedit, kerana amalan perubatan yang menyalahi undang-undang, media kerajaan melaporkan.

He Jiankui, yang mengejutkan komuniti saintifik pada tahun lepas apabila dia mengumumkan kelahiran kembar dengan gen yang didakwa telah diubah untuk memberi kekebalan atau imuniti kepada HIV, juga didenda tiga juta yuan (RM1.7 juta), kata agensi berita Xinhua.

Dia dihukum oleh sebuah mahkamah di Shenzhen kerana ‘menjalankan pengeditan gen embrio manusia yang bertujuan untuk pembiakan’,” kata Xinhua.

Dua rakan penyelidiknya turut dijatuhi hukuman. Zhang Renli dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan didenda sejuta yuan manakala Qin Jinzhou dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan, digantung selama dua tahun, dan didenda sebanyak 500,000 yuan.

Ketiga-tiga mereka tidak mendapatkan kelayakan untuk bekerja sebagai doktor dan tahu mereka melanggar peraturan di China dan prinsip etika, menurut keputusan mahkamah, kata Xinhua.

Mereka bertindak “untuk mengejar keuntungan dan kemasyhuran peribadi” dan “mengganggu aturan perubatan” dengan serius, katanya.

Xinhua berkata bayi ketiga yang diedit gen telah lahir hasil daripada uji kaji He, yang sebelum ini tidak disahkan.

Dia mengumumkan pada November tahun lepas bahawa bayi-bayi pertama di dunia yang diedit gen – kembar perempuan – telah dilahirkan pada bulan yang sama selepas dia mengubah DNA mereka untuk memastikan mereka tidak dijangkiti HIV dengan memadamkan gen tertentu di bawah teknik yang dikenali sebagai CRISPR.

Dakwaan itu mengejutkan saintis di seluruh dunia, yang menimbulkan persoalan mengenai bio-etika dan menarik tumpuan kepada pengawasan yang longgar di China ke atas penyelidikan saintifik.

Di tengah-tengah bantahan, He diletakkan di bawah siasatan polis, kerajaan mengarahkan penyelidikannya dihentikan dan dia dipecat oleh universitinya di China. — AFP

Advertisement