Anda di sini

Penyerang tikam enam mangsa di rumah seorang rabai di New York

Advertisement
 Orang Yahudi berjalan di depan rumah seorang rabai Hasidik di mana lima orang telah ditikam di Monsey, New York, AS semalam. — Gambar Reuters
DALAM SIASATAN: Orang Yahudi berjalan di depan rumah seorang rabai Hasidik di mana lima orang telah ditikam di Monsey, New York, AS semalam. — Gambar Reuters

NEW YORK: Seorang penyerang menikam lima orang lewat Sabtu lepas di kediaman seorang rabai Hasidik di negeri New York sebelum dia melarikan diri, kata sebuah organisasi Yahudi, satu kejadian yang berlaku selepas ketegangan yang semakin meningkat selama berhari-hari berhubung serangan anti-Semitik.

Majlis Hal Ehwal Awam Yahudi Ortodoks (OJPAC) berkata dalam Twitter bahawa seorang penyerang yang memakai skarf menikam mangsa di sebuah rumah di Monsey, Rockland County, kira-kira 30 batu ke utara Bandaraya New York.

Kesemua lima orang mangsa itu telah dibawa ke hospital tempatan, kata majlis itu, yang menambah dua mangsa dalam keadaan parah, dengan seorang daripada mereka ditikam sekurang-kurangnya enam kali.

Penyerang itu lari dengan menaiki sebuah kereta kelabu jenama Nissan Sentra, menurut OJPAC.

Laporan media tempatan menyebut polis sedang memeriksa kawasan untuk mencari penyerang tersebut. Jabatan Polis Ramapo tidak segera mengulas mengenai situasi itu.

Seorang pegawai OJPAC, Yossi Gestetner, memberitahu akhbar The New York Times, serangan itu berlaku sekitar jam 10.00 malam sewaktu sambutan Hanukkah yang dihadiri puluhan orang di kediaman rabai berkenaan.

Kira-kira satu pertiga populasi Rockland County adalah Yahudi, termasuk sebuah masyarakat Yahudi Ortodoks yang besar dan hidup dalam komuniti terpencil.

Ketua Peguam New York Letitia James berkata beliau ‘amat resah’ disebabkan oleh kejadian yang berlaku di Monsey.

“Kita ada toleransi sifar bagi sebarang jenis perbuatan benci dan kita akan terus memantau situasi yang dahsyat ini,” katanya dalam satu tulisan Twitter.

Jabatan Polis Bandaraya New York pada Jumaat lepas berkata pegawainya telah mempertingkatkan rondaan di kawasan yang mempunyai ramai orang Yahudi ekoran beberapa serangan anti-Semitik.

“Kebencian tidak ada tempat di bandar raya kita,” tulis Datuk Bandar Bill de Blasio dalam Twitter pada Jumaat lepas, sambil menyifatkan serangan tersebut sebagai serangan ke atas semua warga New York.

Dalam serangan baru-baru ini yang lebih berdarah, seorang lelaki bersenjata membunuh seorang rabai wanita dan mencederakan tiga orang lagi sewaktu ibadat Sabbath di Congregation Chabad di Poway, berhampiran San Diego, pada hari terakhir Passover pada April 2019.

Enam bulan sebelum itu, seorang lelaki bersenjata membunuh 11 orang jemaat di saumaah ‘Tree of Life’ di Pittsburgh dalam serangan anti-Semitik paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat.

Cuti Hanukkah dalam agama Yahudi memperingati kemenangan Judah Maccabee dan pengikutnya pada abad kedua Sebelum Masihi dalam satu pemberontakan menentang tentera Empayar Seleucid. — Reuters

Advertisement