Anda di sini

Empat wanita warga China dipenjara gagal dapatkan Cop Masuk Imigresen

Advertisement
 Keempat-empat wanita warga China ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Sesyen. 
BERSALAH: Keempat-empat wanita warga China ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Sesyen. 

TAWAU : Empat wanita warga Republik Rakyat China (PRC) dibebaskan selepas dipenjara atas kesalahan gagal melaporkan diri di kaunter Imigresen untuk mendapatkan cop masuk ke negeri Sabah secara sah, di sini kelmarin 

Mahkamah Sesyen di Tawau dalam perbicaraan pada 28 Disember lalu menjatuhkan hukuman penjara terhadap Zhang Qingsi,23, Wang Xiali, 25, Wu Jingting,24, dan Liu Ling,22, selama 18 hari bermula tarikh tangkapan setelah kesemuanya mengaku bersalah. 

Pengarah Imigresen Sabah Dato' Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata kesemua wanita terbabit ditangkap pada 10 Disember lalu semasa pemeriksaan dokumen ketika penerbangan balik ke Shanghai melalui Lapangan Terbang Tawau.

"Setelah diperiksa, kesemua wanita terbabit telah memasuki negeri ini tanpa mendapat 'Cop Masuk Imigresen' secara sah semasa tiba 4 Disember lalu," katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua wanita terbabit telah memasuki negeri ini menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH395 dari Shanghai ke Kota Kinabalu pada 4 Disember lalu jam 6.15 pagi sebelum meneruskan penerbangan ke Tawau pada jam 7.40 pagi hari yang sama.

"Namun, kesemua wanita itu gagal melaporkan diri di mana-mana kaunter Imigresen khususnya kaunter transit yang disediakan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mendapatkan kebenaran masuk secara sah ke negeri ini," katanya. 

Menurutnya, kes tersebut telah dituduh di bawah kesalahan Seksyen 24(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana enggan atau abai hadir di hadapan pegawai Imigresen sebagaimana dikehendaki peraturan Imigresen.

"Kesalahan tersebut jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sade berkata, Jabatan Imigresen Sabah bersama Malaysia Airport Berhad dan Lembaga Pelancongan Sabah mengambil langkah proaktif meletakkan peringatan dalam Bahasa Cina di pelbagai sudut Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Di samping itu juga, pengumuman siaraya dibuat dalam Bahasa Cina untuk mencegah daripada pembolosan seperti ini dari terus berlaku.

"Jabatan juga menggesa kerjasama semua pihak termasuk syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan pihak kedutaan negara China terus aktif memberikan peringatan kepada pelancong negara  tersebut supaya mematuhui peraturan Imigresen," katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement